Pegawai imigresen didakwa seludup masuk 7 warga Indonesia

Pegawai imigresen didakwa seludup masuk 7 warga Indonesia

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160919_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Seorang pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan melakukan penyeludupan masuk tujuh warga Indonesia ke negara ini, tahun lalu.

Muhammad Nur Abdul Azim @ Muhammad bin Abdullah berdepan dakwaan menyeludup masuk tujuh warga tersebut, dan juga tuduhan gagal mengemukakan pasport di kaunter imigresen Sungai Tujoh pada 6 April 2015.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh telah mengatur kemasukan tujuh warga Indonesia itu ke negara ini melalui Pos Kawalan Kastam Sungai Tujoh, Kuala Belait dengan pertukaran wang atau faedah lain.

Tertuduh didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas di bawah Akta Penyeludupan dan Pemerdagangan Orang, yang boleh dikenakan penjara sehingga 30 tahun, sebat dan denda tidak melebihi $1 juta jika sabit kesalahan.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Perantaraan, dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sehingga 1 Oktober.

ARTIKEL YANG SAMA