Pegawai imigresen didapati tidak jujur

Pegawai imigresen didapati tidak jujur

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Seorang pegawai imigresen yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas enam pertuduhan rasuah pada 2013.

Samsi bin Moktal, 40, untuk tuduhan pertama antara Februari dan Mac 2013, berdepan dakwaan menerima rasuah berupa ikan dan udang daripada Latif bin Haji Salleh ketika di Pasar Ikan Gadong yang mana makanan laut itu dianggarkan berharga $100 sebagai ganjaran untuk membantu melanjutkan tempoh pas melawat untuk lima orang warga Indonesia iaitu Wagimin bin Reja Santika, Tukinah, Suwiji bin Toimin, Sri Purwo dan Djayadi.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh antara Februari dan Mac 2013, juga di Pasar Ikan Gadong didapati bersetuju dan tanpa membuat pertimbangan telah menerima rasuah berupa makanan laut itu daripada orang yang sama.

Tertuduh juga berdepan tuduhan menerima rasuah berjumlah antara $200 hingga $300 pada hujung Februari 2013 di tempat letak kereta National Inn Emporium, Kampung Madewa daripada orang yang sama sebagai ganjaran untuk membantu melanjutkan tempoh pas melawat bagi lima warga Indonesia yang sama.

Untuk tuduhan keempat, tertuduh pada hujung Februari 2013, juga di tempat letak kereta yang sama didapati bersetuju dan tanpa membuat pertimbangan telah menerima wang daripada orang yang sama.

pg06_151105_mahkamah logo2

Pertuduhan kelima, tertuduh pada pertengahan Mac 2013 di tempat letak kereta yang sama, didakwa telah menerima wang rasuah antara $200 hingga $300 sebagai ganjaran untuk melanjutkan tempoh pas melawat untuk lima warga Indonesia yang sama.

Untuk tuduhan keenam, pada pertengahan Mac 2013 juga di tempat letak kereta yang sama, tertuduh didapati bersetuju dan tanpa membuat pertimbangan telah menerima wang itu daripada orang yang sama.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di mana dia mengetahui orang itu mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya sebagai penjawat awam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Bab 131) yang membawa kepada denda $30,000 dan penjara tujuh tahun, dan di bawah Seksyen 165 Kanun Hukuman Jenayah (Bab 22) yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memohon kepada mahkamah supaya sebutan ditangguhkan selama sebulan bagi membolehkan tertuduh mempertimbangkan pengakuannya dan untuk mendapatkan khidmat guaman. Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh diikat jamin $5,000 atau seorang penjamin tempatan.