Pegawai kanan ASEAN mula mesyuarat persediaan

Pegawai kanan ASEAN mula mesyuarat persediaan

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – Pegawai-pegawai kanan dari rantau ASEAN sudah memulakan mesyuarat persediaan hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan di ibu negara, minggu ini.

Ia melibatkan dua mesyuarat berasingan iaitu satu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Hashim Othman dan satu lagi oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Hiswani Harun.

Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur akan menyaksikan pembentukan rasmi Komuniti ASEAN yang menyediakan integrasi lebih erat melalui tiga teras – politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Peristiwa penting dalam pertubuhan berusia 48 tahun itu ialah pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2025: ‘Maju Bersama’, sebuah dokumen politik yang menggariskan pelan tindakan strategik bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Selaku Pengerusi ASEAN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia menghoskan Sidang Kemuncak ASEAN dan pelbagai sidang kemuncak berkaitan dari 18 hingga 22 Nov ini.