Pegawai kanan Asia Pasifik bincang logistik bersama

Pegawai kanan Asia Pasifik bincang logistik bersama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Lebih 100 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan tentera dan awam dari 28 buah negara rantau Pasifik akan menghadiri Seminar Logistik Pegawai-pegawai Kanan Kawasan Pasifik (PASOLS) ke-44 di Dewan Besar Indera Samudra, Empire Hotel and Country Club, Jerudong yang akan bermula esok (15 September).

Seminar tiga hari itu akan dirasmikan oleh Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

PASOLS ke-44 dihoskan bersama oleh Negara Brunei Darussalam yang mana ia dihadiri oleh wakil-wakil dari 28 buah negara rantau Pasifik termasuk Argentina, Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, Kanada, China, Perancis, Indonesia, Jepun, Kribati, Malaysia, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Samoa, Singapura, Kepulauan Solomon, Korea Selatan, Sri Lanka, Thailand, Tonga, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vanuatu.

Seminar yang membawa tema ‘Logistik-Logistik Bersama’ itu memberikan penekanan kepada usaha untuk mempromosikan dialog terbuka bagi ketua-ketua logistik tentera di rantau Asia Pasifik untuk mengembangkan lagi rangkaian pengedaran dan meningkatkan lagi kerjasama ke arah respons yang lebih bersepadu kepada cabaran-cabaran sekuriti bersama khususnya dalam misi-misi pengamanan.

Ia akan merangkumi kumpulan-kumpulan panel menyertai eksesais atas meja (table-top exercise) dan sesi plenari yang melibatkan pertukaran serta perbincangan mengenai idea-idea logistik baru, menilai semula inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di rantau Pasifik serta pertukaran maklumat untuk membantu mengukuhkan lagi hubungan logistik bagi meningkatkan kerjasama di antara negara-negara rakan.

Pertukaran dan perbincangan juga merangkumi pertukaran maklumat dalam inisiatif-inisiatif dua hala dan pelbagai hala.