Pegawai kanan didenda $800 beli ikan daripada kapal tidak berlesen

Pegawai kanan didenda $800 beli ikan daripada kapal tidak berlesen

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151113_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Seorang pegawai kanan kerajaan, hari ini, telah diarahkan untuk membayar denda $800 selepas mengaku bersalah mendapatkan ikan daripada kapal penangkapan ikan asing tanpa kebenaran.

Majistret Kanan, Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin turut mengarahkan Mohammad Hakashah bin Haji Abdul Samad untuk menjalani hukuman penjara dua minggu jika gagal membayar denda itu.

Fakta kes menyebut, tertuduh bersama dua rakannya ditangkap pada 13 Januari 2015 di jeti Kuala Tutong sebaik kembali dari laut.

Pegawai dari Unit Penguatkuasaan Jabatan Perikanan yang menerima maklumat daripada orang ramai telah bertindak dengan membuat pemeriksaan ke atas kapal tertuduh dan menemui 406.4 kilogram ikan pelbagai jenis termasuk Golden Snapper, Kerapu Merah, Teira Batfish, Salmon, Ikan Merah dan Fusilier.

Ketika disoal siasat, tertuduh mengaku bahawa dia dan rakannya hanya memperolehi 30 kilogram ikan pada hari tersebut.

Tertuduh juga mengaku bahawa perahunya telah didatangi oleh kapal penangkapan ikan dengan bendera Malaysia, yang menawarkan untuk menjual 376 kilogram ikan kepadanya.

Tertuduh telah membeli ikan itu pada harga $200 tanpa memiliki mana-mana lesen untuk mengambil atau menerima ikan daripada kapal asing.

Majistret Kanan juga mengarahkan perahu dan 30 kilogram ikan itu dikembalikan kepada tertuduh manakala 376 kilogram ikan yang dirampas oleh Jabatan Perikanan diserahkan kepada kerajaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo.