Pegawai kanan kerajaan dituduh palsukan cek

Pegawai kanan kerajaan dituduh palsukan cek

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Seorang pegawai kanan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas lima pertuduhan mencuri dan memalsukan dua keping cek kosong yang sudah ditandatangani.

Amirrudin bin Haji Junaidi mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dato Paduka Steven Chong.

Untuk pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri dua keping cek kosong dari kediaman mangsa pada 25 Februari 2015 yang mana kesalahan ini membawa hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun dan juga denda.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh didakwa telah memalsukan dua keping cek kosong milik mangsa dengan menulis namanya sebagai penerima, masing-masing pada jumlah $60,000 dan $40,000.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga dan kelima, tertuduh didakwa menggunakan cek itu pada dua tarikh berlainan iaitu pada 26 Februari 2015 dan 10 Mac 2015.

Pertuduhan kedua hingga kelima itu membawa kepada hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abdul Raafe’ bin Haji Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai 10 orang saksi manakala tertuduh yang tidak mempunyai saksi akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Hakim menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula, dan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.