Pegawai kanan kerajaan hadiri seminar undang-undang

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Dengan kerjasama Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Pejabat Peguam Negara telah mengadakan Seminar Undang-undang Pegawai Awam: Memahami Undang-undang 2017 yang berlangsung selama dua hari, pada 11 November lalu dan hari ini, di IPA.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seminar itu dihadiri oleh para pegawai kanan kerajaan dari pelbagai kementerian dan jabatan yang tugas mereka meliputi perkara-perkara yang melibatkan undang-undang, pengurusan kontrak, perjanjian antarabangsa atau perkara yang berkaitan dengan penguatkuasaan dalam skop masing-masing.

Pertama kali diperkenalkan pada 2016 dan diadakan setiap tahun, seminar itu mengetengahkan pelbagai topik termasuk pengenalan kepada prinsip undang-undang umum yang berkaitan dengan para pegawai awam untuk mempromosikan pelaksanaan tugas yang efektif dalam perkhidmatan awam mengikut undang-undang.

Para pegawai kanan kerajaan yang menyertai seminar undang-undang bergambar ramai selepas mengakhiri seminar di IPA.

Seminar itu juga berfungsi sebagai platform bagi rangkaian dan perkongsian pandangan dan pengalaman dalam kalangan pegawai Pejabat Peguam Negara dan pegawai awam lain.

Seminar dua hari itu diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta oleh Pemangku Peguam Cara Negara dan Penggubal Undang-undang, Dayang Alice Khan binti Ahmad Khan.