Pegawai kastam dipenjara 12 bulan

Pegawai kastam dipenjara 12 bulan

pg06_160310_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Bekas pegawai Kastam dan Eksais Diraja telah dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan, yang berkuat kuasa hari ini, atas empat pertuduhan.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Sanip bin Ura terhadap semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan rasuah di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan dua pertuduhan pegawai kerajaan menerima benda berharga dengan tiada pertimbangan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).

Biro Mencegah Rasuah (BMR) dalam kenyataannya menjelaskan bahawa hasil siasatan yang dijalankan mendapati bahawa, pada sekitar 12 dan 13 Januari 2009, tertuduh secara tidak jujur telah menerima rasuah daripada seorang warga Malaysia, iaitu wang berjumlah $350 sebagai imbalan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya (warga Malaysia tersebut) kerana telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Kastam 2006 yang berkaitan dengan aktiviti penyeludupan minyak.

Siasatan juga mendapati bahawa pada sekitar 18 Januari 2009, tertuduh di persekitaran Bilik 111, Hotel Mega, Miri, Sarawak, Malaysia, sebagai seorang pegawai Kastam dan Eksesais Diraja secara tidak jujur telah menerima rasuah bagi dirinya dalam bentuk perkhidmatan seks yang diberikan oleh seorang warga Malaysia sebagai imbalan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Kastam 2006.

Kes yang melibatkan tertuduh ini disiasat oleh BMR, dan pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani, manakala itu, tertuduh diwakili Mohd Shazale bin Haji Mat Salleh.