Pegawai kendali kes nahas bas, terjatuh dari hotel

Pegawai kendali kes nahas bas, terjatuh dari hotel

BEIJING, 5 Julai (AFP) – Seorang pegawai yang dihantar dari Seoul untuk mengendali kes nahas bas di China yang membunuh 10 warga Korea Selatan ditemui mati pada awal hari ini setelah terjatuh dari sebuah hotel, kata kerajaan tempatan.

Pegawai itu, dikenali sebagai Choi Doo-Yeong, disahkan mati selepas polis dihubungi bahawa seorang lelaki telah terjatuh dari hotel empat tingkat di timur laut bandar China Jian, kata jabatan propaganda bandar di laman media sosialnya.

Sebab-sebab kejadian jatuh masih sedang disiasat, katanya.

Choi adalah presiden Institut Kemajuan Pegawai Kerajaan Tempatan dan telah berkunjung ke China selepas sebuah bas yang membawa lebih daripada berpuluh kakitangan awam Korea Selatan terjatuh dari sebatang jambatan di Jian pada Rabu. Nahas itu membunuh 10 warga Korea Selatan dan pemandu China mereka, lapor agensi berita China Xinhua dan agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Xinhua berkata Choi telah mengiringi Chung Chae-Gun, timbalan menteri di Kementerian Pentadbiran Kerajaan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Korea Selatan, untuk mengendali kes tersebut. Mangsa nahas telah berkunjung dalam program latihan yang dianjurkan oleh institut, kata Yonhap.

“Masih belum disahkan sama ada Choi melompat dari hotel atau hilang kawalan dan terjatuh,” kata seorang pegawai di kementerian Korea Selatan, menurut Yonhap. Institut yang diketuai oleh Choi adalah ahli gabungan kerajaan, tambah Yonhap.

ARTIKEL YANG SAMA