Pegawai Kenya dihantar pulang

Pegawai Kenya dihantar pulang

pg23_160813_olympic logo

RIO DE JANEIRO, 12 Ogos – Pegawai olahraga Kenya dihantar pulang daripada Olimpik yang sedang berlangsung selepas didapati menyamar sebagai pelari 800 meter (m) dan memberi sampel doping atas nama atlet terbabit.

John Anzrah didapati menggunakan kad akreditasi milik Ferguson Rotich, memberikan sampel air kencing bagi ujian doping serta menandatangani borang menggunakan nama Rotich, kata ketua pasukan Kenya, Stephen Arap Soi.

Anzrah, bekas pelari pecut dan kini jurulatih olahraga, dilaporkan kepada penguasa oleh pegawai kawalan doping selepas ujian itu yang diadakan di perkampungan atlet di Rio de Janeiro.

Rotich menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara 800m di kejohanan dunia di Beijing tahun lalu.

“Masalahnya dengan John Anzrah adalah dia menggunakan kad identiti (akreditasi) atlet yang berada dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA),” kata Arap Soi.

“Dia kemudian dibawa ke stesen kawalan doping dengan mengaku sebagai Ferguson Rotich dan diminta sampel serta kemudiannya menandatanganinya. Dia melakukan jenayah terhadap pasukan Kenya dan sebab itulah kami menghantarnya pulang.”

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa berkata dalam kenyataan hari ini mereka membentuk satu jawatankuasa disiplin terhadap insiden itu. – AP

ARTIKEL YANG SAMA