Pegawai masjid diseru laksana tugas dengan amanah

Pegawai masjid diseru laksana tugas dengan amanah

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 12 Ogos – Jerayawara Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid (TDPM) yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Pejabat Hal Ehwal Masjid di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi hari ini dengan acara Penyerahan Wakaf dan Ihtifal Aidilfitri di Masjid Lorong Tiga Seria, Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, diiringi sama Pegawai Hal Ehwal Masjid (HEM) Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbuddin serta pegawai dan kakitangan dari Pejabat HEM Daerah Belait dan juga dihadiri oleh ahli jawatankuasa takmir Masjid Lorong Tiga Selatan, Seria.

Dalam sesi jerayawara ini, taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah telah menekankan kepada para pegawai masjid di Daerah Belait mengenai pentingnya peranan mereka sebagai individu yang diamanahkan untuk menjaga dan menunaikan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas berhubung TDPM.

Antara tugas yang perlu dititikberatkan itu adalah seperti penghantaran penyata kutipan tabung dana secara konsisten, membuat penyata atau kunci kira-kira serta memasukkan hasil kutipan ke dalam bank pada tempoh dan waktu yang telah ditetapkan oleh Jabatan HEM.

Haji Abdul Rajid (kiri) menyampaikan wakaf kepada wakil jawatankuasa takmir masjid Lorong Tiga Selatan.
Haji Abdul Rajid (kiri) menyampaikan wakaf kepada wakil jawatankuasa takmir masjid Lorong Tiga Selatan.

Beliau juga menekankan bahawa peraturan yang telah digariskan tersebut hendaklah diikuti dan dipatuhi agar jangkaan masyarakat terhadap masjid di tahap yang baik.

“Masjid merupakan tempat yang dianggap paling mudah dan senang untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk menyalurkan derma atau sedekah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain khususnya ke tabung dana ini kerana masjid-masjid dan surau serta balai ibadat turut menyediakan tabung-tabung lain selain daripada tabung dana” jelas Haji Abdul Rajid.

Selepas taklimat, tetamu kehormat seterusnya menyampaikan wakaf kepada wakil Jawatankuasa Takmir Masjid Lorong Tiga Selatan Seria dan beramah mesra bersama kakitangan dan ahli jawatankuasa masjid dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL YANG SAMA