Pegawai pertahanan Korea S, China bincang ujian nuklear

Pegawai pertahanan Korea S, China bincang ujian nuklear

SEOUL, 15 Jan (AFP) – Pegawai kementerian pertahanan Korea Selatan dan China membincangkan ujian nuklear terbaru Korea Utara pada hari ini, tatkala tekanan ke atas Beijing semakin meningkat untuk mengamalkan dasar yang lebih keras dengan sekutu Pyongyang.

Rundingan pertahanan peringkat pengarah diadakan setiap tahun, tetapi disurami kali ini oleh ujian nuklear keempat Utara pada minggu lalu, yang mencetuskan kecaman global dan janji sekatan PBB baru.

“China meluahkan kerelaannya untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan resolusi sekatan Majlis Keselamatan PBB,” beritahu ketua wakil Korea Selatan, Yoon Soon-Ku, kepada wartawan.

“China menekankan ia menolak sepenuhnya pembangunan nuklear dan ujian nuklear Utara,” kata Yoon.

Rundingan diadakan dua hari selepas Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye menggesa China supaya mempertingkat pengendalian dan menyokong sekatan yang akan membantu menundukkan Pyongyang.

Laksamana Muda Guan Youfei (kiri), pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kementerian Pertahanan Negara China, berjabat tangan dengan Yoon Soon Gu (kanan), semasa rundingan peringkat kerja tahunan di Kementerian Pertahanan Seoul. – AFP
Laksamana Muda Guan Youfei (kiri), pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kementerian Pertahanan Negara China, berjabat tangan dengan Yoon Soon Gu (kanan), semasa rundingan peringkat kerja tahunan di Kementerian Pertahanan Seoul. – AFP

“Saya percaya China sedar sekiranya keazamannya yang kukuh tidak dilaksanakan, kami tidak berupaya mengelak ujian nuklear kelima atau keenam,” kata Park.

China adalah ketua pelindung diplomatik dan penyumbang ekonomi Korea Utara, tetapi hubungan tradisional telah terjejas tatkala kesabaran Beijing telah menjadi semakin tipis dengan tingkah laku dan ketidakrelaan Pyongyang untuk mengawal cita-cita penghasilan senjata nuklear mereka.

Namun pengaruh China ke atas Pyongyang sedang berkurangan, kata penganalisis, disebabkan kebimbangannya tentang kejatuhan Korea Utara dan prospek penyatuan semula Korea di sempadannya.

Setiausaha Negara AS John Kerry juga meminta China supaya mengamalkan dasar yang lebih keras dengan Korea Utara, mengingatkan dalam satu panggilan kepada rakan sejawatan Beijing pada minggu lalu bahawa ia tidak lagi “berurusan seperti biasa.”