Pegawai Rusia...

Pegawai Rusia: Ancaman samseng Piala Dunia ‘palsu’

CHANGSHA, China, 18 Mei – Seorang pegawai tertinggi penganjur Piala Dunia Rusia semalam menyifatkan ancaman tindakan ganas sebagai ‘keterlaluan’ dan ‘palsu’ biarpun selepas para penyokong Rusia melakukan kekacauan pada Euro 2016 mencetuskan kebimbangan.

Alexandwer Djordjadze, timbalan CEO jawatankuasa penganjuran Rusia 2018, memberikan jaminan bahawa peminat selamat pada perlawanan tahun depan dan menyalahkan liputan negatif media kerana mencetuskan kontroversi.

Sejak tindakan ganas penyokong Rusia pada Euro 2016 di Perancis, seorang penggubal undang-undang Rusia meminta hooliganisme dibenarkan dan ditukar menjadi tontonan sukan.

Sebuah dokumentari British juga merakamkan amaran penyokong kumpulan samseng Rusia untuk menjangkakan ‘pesta keganasan’ tahun depan apabila negara itu menghoskan Piala Dunia buat kali pertama.

Tetapi Djordjadze, yang bercakap pada Forum Bola Sepak Dunia di Changsha, China berkata tindakan ganas ‘bukanlah masalah’ piala dunia.

“Kami tidak melihat sebarang masalah dengan kumpulan samseng. Tindakan ganas adalah lebih endemik bagi kelab bola sepak,” Djordjadze memberitahu wartawan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA