Pegawai tentera dipilih sebagai Peserta IVLP

Pegawai tentera dipilih sebagai Peserta IVLP

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam telah mengumumkan bahawa Pegawai Pemerintah KDB Darussalam, Tentera Laut Diraja Brunei, Komander Sonny Iskandar bin Rasani telah dipilih sebagai peserta Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP) 2016.

Menerusi program pertukaran profesional utama AS berkenaan, Komander Sonny Iskandar akan berada di AS dari 13 Ogos hingga 3 September bersama pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik, dan keselamatan maritim dari seluruh Asia Pasifik untuk menyertai satu program mengenai Undang-undang Laut dan Keselamatan Maritim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS, hari ini, mereka akan pergi ke enam lokasi di sekitar AS iaitu Washington D.C., Maryland, New York, Seattle, Washington, Florida, dan Honolulu, Hawaii.

Dalam lawatan-lawatan itu mereka akan meneroka beberapa tema berlainan seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut ke-3 (UNCLOS III) dan kebolehgunaannya di Lautan Pasifik dan rantau Asia Tenggara, prosedur-prosedur perundangan bagi menyelesaikan pertikaian maritim antarabangsa, teknik-teknik siasatan bagi antipelanunan, dan banyak lagi.

Mengulas mengenai pemilihan Komander Sonny Iskandar bagi program tersebut, Chargé d’Affaires Kedutaan AS, Mark S. Dieker dipetik sebagai berkata, “Kedutaan AS di Brunei Darussalam teruja untuk menawarkan program-program hebat seperti ini kepada rakyat Brunei cemerlang yang inginkan pembangunan profesional sementara mengeratkan lagi hubungan antara AS dan Brunei Darussalam.

“Program Undang-Undang Laut dan Keselamatan Maritim’ itu sendiri adalah luar biasa kerana ia memberikan peluang kepada Komander Sonny Iskandar, bukan sahaja untuk menganalisis sejarah isu-isu maritim di rantau ini, tetapi juga meneliti pelbagai metode penyelesaian konflik,” tambahnya.

Manakala itu, Komander Sonny Iskandar pula dipetik sebagai berkata, “Saya rasa berbesar hati dan berbangga kerana diberi peluang oleh Kedutaan AS untuk menyertai program berprestij sebegini.

“Saya berharap untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengetahuan dalam bidang keselamatan maritim dan undang-undang maritim, dan akan dapat berbincang dengan rakan-rakan peserta mengenai isu-isu serantau. Di samping itu, saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mempelajari beberapa amalan terbaik AS dan melihat jika ia dapat digunakan di Brunei pada masa depan,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu lagi, IVLP memberikan peluang untuk mengukuhkan hubungan di antara peserta antarabangsa dengan rakan-rakan Amerika.

Kini memasuki tahun ke-75, IVLP merupakan salah satu program pertukaran paling penting Jabatan Negara AS, menghubungkan pemimpin-pemimpin asing kini dan akan datang dengan orang Amerika menerusi program jangka masa penting bagi membangunkan persefahaman bersama mengenai pelbagai isu.

ARTIKEL YANG SAMA