Pegawai tinggi tentera diarah ‘berdiam diri’

Pegawai tinggi tentera diarah ‘berdiam diri’

BEIJING, 7 Dis – Pegawai tinggi tentera China mesti “berdiam diri” berhubung kebimbangan mengenai pembaharuan tentera dan memimpin di barisan hadapan untuk memastikan anggota biasa tidak diketepikan, menurut Tentera Pembebasan Rakyat hari ini.

Presiden Xi Jinping mendedahkan garis kasar pembaharuan pada bulan lalu, berusaha melancarkan pemodenan struktur angkatan bersenjata terbesar di dunia, termasuk kehilangan pekerjaan, untuk membolehkannya memenangi perang moden.

Xi bertekad untuk memodenkan pada masa yang sama tatkala China menjadi lebih terdesak dalam kemelut wilayahnya di Laut China Timur dan Selatan. Tentera Laut China sedang melabur dalam kapal selam dan kapal induk pesawat udara, sementara tentera udara sedang memajukan pesawat pengintipan.

Pembaharuan itu, dilancarkan pada September dengan pengumuman Xi bahawa beliau akan mengurangkan kakitangan tentera seramai 300,000, telah mencetuskan kontroversi.

Akhbar tentera telah menyiarkan beberapa siri dokumentari mengingatkan mengenai tentangan terhadap pembaharuan dan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan.

Dalam dokumentari muka surat depan dalam Akhbar Tentera Pembebasan Rakyat, jabatan politik tentera, yang bertanggungjawab atas ideologi dan memastikan kesetiaan kepada Parti Komunis, berkata kejayaan atau kegagalan pembaharuan bergantung pada pegawai kanan “memimpin dari depan dan memberikan teladan yang baik.”

“Adalah haram untuk bercakap perkara karut, membuat komen yang tidak bertanggungjawab, mempunyai pendapat anda sendiri, bertindak apabila difikirkan wajar,” katanya, dalam satu artikel yang juga disiarkan dalam akhbar rasmi parti People’s Daily.

Tumpuan khas mesti diberikan kepada apa yang difikirkan oleh tentera biasa dan subjek sensitif “diselesaikan secara efektif,” tambahnya.

“Anda mesti menganjur dan mengendali tinjauan pendapat awam dengan baik, terutamanya di Internet, dan berjuang dalam pertempuran aktif untuk mewujudkan suasana yang baik untuk mempromosi pembaharuan,” kata artikel itu.

Pembaharuan Xi termasuk penubuhan struktur operasi bersama pada tahun 2020 dan mengatur semula rantau tentera sekarang, serta mengurangkan jumlah tentera. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA