Peguam bawa dakwaan China ambil organ banduan ke Australia

Peguam bawa dakwaan China ambil organ banduan ke Australia

CANBERRA, Australia, 21 Nov – Dua peguam Kanada datang ke Dewan Parlimen Australia hari ini untuk memujuk penggubal undang-undang supaya meluluskan satu usul menggesa China untuk menamatkan amalan yang dikatakan oleh mereka sebagai pemerolehan organ daripada tahanan.

David Kilgour, bekas pendakwa dan setiausaha negeri Kanada untuk Asia Pasifik, dan David Matas, peguam hak asasi manusia, telah menyiarkan bukti yang dikatakan oleh mereka menunjukkan China menjalani kira-kira 60,000 hingga 100,000 pemindahan setahun, dengan organ diambil daripada pengamal Falun Gong, penduduk Islam Uighur, penduduk Tibet yang beragama Buddha dan penduduk Kristian.

China berkata ia menjalani 10,057 pemindahan organ pada tahun lalu dan belum memperoleh organ daripada banduan sejak Januari 2015.

Dewan Perwakilan AS meluluskan satu resolusi pada Jun meminta Jabatan Negara supaya melaporkan kepada Kongres setiap tahun mengenai pelaksanaan undang-undang sekarang yang mengharamkan pengeluaran visa kepada warga China dan rakyat lain yang terbabit dalam pemindahan organ secara paksa. Resolusi itu juga mengecam penindasan Falun Gong, kumpulan agama yang digelar kultus di China dan telah diharamkan.

David Matas (kiri) dan David Kilgour semasa berada di Dewan Parlimen Australia di Canberra, Australia pada 21 November. – AP
David Matas (kiri) dan David Kilgour semasa berada di Dewan Parlimen Australia di Canberra, Australia pada 21 November. – AP

China menuduh Kongres membuat ‘tuduhan tidak berasas’. Parlimen Eropah meluluskan satu deklarasi yang sama pada Julai meminta satu siasatan bebas dilancarkan ke dalam ‘laporan mengenai pemerolehan organ yang diharamkan oleh negara daripada tahanan’ di China.

Kilgour berkata Australia keberatan menerima bukti pemerolehan organ secara besar-besaran di China. Kilgour menyalahkan hubungan rapat ekonomi Australia dan China, rakan niaga terbesarnya. “Keraguan terbesar nampaknya datang dari Australia,” kata Kilgour.

Kilgour dan Matas pertama menyiarkan satu laporan mengenai pemerolehan organ di China pada 2006, yang menjadi asas kepada buku mereka ‘Pemerolehan Berdarah. Pembunuhan Falun Gong untuk Organ mereka’ pada 2009. – AP

ARTIKEL YANG SAMA