Peguam hak asasi mengaku bersalah

Peguam hak asasi mengaku bersalah

BEIJING, 19 Julai – Seorang peguam hak asasi kemanusiaan terkenal China telah ‘mengaku bersalah’ seminggu selepas ditahan dalam tindakan besar-besaran ke atas aktivis undang-undang, lapor media kerajaan.

Zhou Shifeng adalah salah seorang daripada lebih 130 peguam yang ditahan atau dipanggil bagi soal siasat oleh badan-badan keselamatan negeri bulan ini, menurut pengiraan kumpulan-kumpulan hak asasi.

Peguam itu memberikan bantuan undang-undang kepada keluarga kanak-kanak yang mengalami keracunan akibat susu tepung dari sebuah firma tenusu berpengaruh, dan tahun ini membela seorang penulis berusia 81 tahun yang ditahan kerana mengkritik parti memerintah Komunis.

Zhou dilaporkan tidak dapat menemui peguam bela yang dilantik keluarga itu. Agensi berita rasmi Xinhua berkata lewat semalam bahawa dia ‘mengaku bersalah’ dan merayu ‘peluang kedua’.

“Beberapa perkara tentang tindakan saya di firma undang-undang adalah tidak sah, kesalahan saya adalah serius,” laporan itu memetik Zhou sebagai berkata ketika dalam tahanan polis.

Xinhua berkata sembilan orang lagi peguam yang berkaitan dengan firma undang-undang Zhou, Fengrui telah ditahan bersama-sama beberapa sekutu, tetapi tidak menyatakan apakah jenayah yang disyaki telah mereka lakukan.

Para peguam bela telah ditemu bual oleh media asing, menyebarkan pendapat yang membidas parti dan kerajaan, memburuk-burukkan sistem undang-undang dan pandangan negatif lain,” tambahnya.

Penyiar kerajaan CCTV hari ini memperlihatkan ‘pengakuan’ Zhou dan beberapa rakan sekerja dalam laporan yang memakan masa 40 minit.

Menurutnya peguam-peguam telah ditahan selepas berkali-kali ‘mengganggu’ di mahkamah dengan berbantah, membuat rakaman dan mengambil gambar.

‘Pencabulan lain’ yang ditonjolkan oleh CCTV termasuklah peguam-peguam mengaturkan para pembantah untuk mengadakan bantahan di luar bangunan mahkamah dan mengumpul wang melalui online untuk melawan kes. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA