Peguam Negara hadiri sidang di China

Peguam Negara hadiri sidang di China

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh kini berada di Nanning, China, bagi mengetuai delegasi Brunei Darussalam menghadiri Persidangan Pendakwa Raya/Peguam Negara China-ASEAN ke-9.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, persidangan tahunan yang dihoskan oleh Supreme People’s Procuratorate, Republik Rakyat China selama dua hari hingga hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Liyuan Resort, Nanning, China, itu diikuti dengan lawatan kerja ke wilayah Guilin China.

Persidangan berkenaan menghimpunkan peguam-peguam negara dan pendakwa raya dari seluruh negara anggota ASEAN dan Republik Rakyat China termasuk Hong Kong dan Macau.

Tema persidangan tahun ini ialah Kerjasama Antarabangsa mengenai Penghantaran Balik Pelarian dan Pemulangan Aset yang menekankan keperluan untuk mempunyai rangka kerja undang-undang dan komitmen untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi menghantar balik pelarian secara efektif dan untuk memulangkan keuntungan, yang didapati secara haram, daripada penjenayah-penjenayah berkenaan.

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati berada di Nanning, China, bagi mengetuai delegasi Brunei Darussalam menghadiri Persidangan Pendakwa Raya/Peguam Negara China-ASEAN ke-9.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati berada di Nanning, China, bagi mengetuai delegasi Brunei Darussalam menghadiri Persidangan Pendakwa Raya/Peguam Negara China-ASEAN ke-9.

Yang Berhormat Datin, dalam ucaptama telah mengongsi pencapaian penting perundangan kerajaan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi enakmen Perintah Ekstradisi 2006 dan Perintah Pemulangan Aset Jenayah 2012 yang baru sahaja dipinda.

Enakmen undang-undang ini dilaksanakan menerusi usaha kerjasama rapat dan penyelarasan Pejabat Peguam Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan, jelas Yang Berhormat Datin.

Menurut kenyataan itu lagi, persidangan ini menyediakan platform berguna bagi para delegasi untuk berkongsi pengalaman mengenai kejayaan, cabaran dan amalan-amalan terbaik dalam bidang-bidang penghantaran balik dan pemulangan aset.

Telah diakui bersama bahawa hubungan kerja yang baik dalam kalangan pejabat pendakwa akan meningkatkan dan mempercepatkan kerjasama perundangan antarabangsa dalam bidang-bidang ini.

Dengan itu, satu Deklarasi Bersama telah ditandatangani oleh peguam-peguam negara dan pendakwa raya berkenaan, yang antara lain menghargai komitmen mereka untuk meningkatkan pertukaran maklumat mengenai jenayah dan meningkatkan pertukaran pendakwa serta kerjasama mengenai penghantaran balik pelarian dan pemulangan aset dalam usaha sama bagi menaikkan kapasiti pendakwa mengendalikan jenayah rasuah rentas sempadan.

Persidangan tahun depan akan dihoskan oleh Republik Demokratik Rakyat Laos.

ARTIKEL YANG SAMA