Peguam Negara terima kunjungan hormat Duta Besar Republik Perancis

Peguam Negara terima kunjungan hormat Duta Besar Republik Perancis

pg05_151117_c

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh, hari ini, menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Republik Perancis ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron (gambar, kiri) di Bangunan Undang-undang, di sini.

Semasa kunjungan hormat tersebut, Yang Berhormat Datin turut menyampaikan perutusan takziah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada presiden dan rakyat Republik Perancis, berikutan dengan serangan pengganas di Paris baru-baru ini.

Beliau juga mengulangi pendirian Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam mengutuk kesemua perbuatan pengganasan, dalam apa jua bentuk dan manifestasi.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Datin memaklumkan mengenai usaha-usaha Negara Brunei Darussalam dalam memerangi pengganasan, termasuk undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedia ada pada masa ini.

Yang Berhormat Datin dan Puan Yang Terutama seterusnya bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu seperti kerjasama dari sudut bantuan teknikal dan perkongsian maklumat.

Mengenai isu-isu khususnya peranan wanita dan hal ehwal kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Datin dan Puan Yang Terutama mengakui peranan penting yang dimainkan oleh wanita dan kanak-kanak, di samping mengakui peluang-peluang saksama diberikan kepada wanita di Brunei Darussalam seperti pendidikan dan pekerjaan. Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan pertukaran cenderahati.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Peguam Cara Negara, Dayang Naimah binti Mohd Ali serta para pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

ARTIKEL YANG SAMA