Peguam Negara terima kunjungan hormat menteri S’pura

Peguam Negara terima kunjungan hormat menteri S’pura

BANDAR SERI BEGAWAN , 7 Okt – Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh, hari ini, telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kanan Negara Singapura bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Undang-undang, Puan Yang Terutama Indranee Rajah SC yang berada di negara ini bagi rangka lawatan rasmi selama empat hari.

Semasa lawatan, Puan Yang Terutama mengadakan kunjungan hormat kepada Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati di Bangunan Undang-undang hari ini.

Dalam kunjungan Bangunan Undang-undang itu, mereka bertukar-tukar maklumat dan mengadakan perbincangan mengenai bidang-bidang yang menjadi perhatian bersama termasuk pengharmonian dan penumpuan terhadap undang-undang, memandangkan kedua-dua buah negara berwarisan undang-undang Sistem Perundangan Inggeris.

Kedua-duanya bertukar-tukar cenderahamata ketika kunjungan itu.
Kedua-duanya bertukar-tukar cenderahamata ketika kunjungan itu.

Kedua-dua belah pihak juga berharap untuk terus meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara melalui penempatan atau latihan di Pejabat Peguam Negara Singapura seterusnya mengekalkan hubungan baik antara rakan sejawat kedua-dua negara.

Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati dan Puan Yang Terutama Indranee Rajah juga bertukar-tukar cenderahati.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Pemangku Peguam Cara Negara, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi, Penggubal Undang-undang, Alice Khan binti Ahmad Khan, Penolong Peguam Cara Negara, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib dan para pegawai kanan lain Pejabat Peguam Negara dan juga pegawai-pegawai dari Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA