Pehin Haji Awang Suhaili terima anugerah KLIFF 2015

Pehin Haji Awang Suhaili terima anugerah KLIFF 2015

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Pengerusi Badan Penasihat Syariah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, diberikan penghormatan apabila menerima Anugerah Sumbangan Individu Paling Cemerlang kepada Kewangan Islam pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD di sini hari ini, Yang Dimuliakan Pehin mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang perbankan Islam dan menyumbangkan ilmu pengetahuan serta kepakaran beliau sebagai

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Timbalan Mufti Negara, Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD dan juga pelbagai jawatan yang penting di peringkat industri dan autoriti di Negara Brunei Darussalam.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili (tiga dari kiri) dan Javed Ahmad bergambar ramai selepas majlis penganugerahan tersebut.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili (tiga dari kiri) dan Javed Ahmad bergambar ramai selepas majlis penganugerahan tersebut.

BIBD berkata, sebagai Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD yang sudah lama berkhidmat, beliau banyak membantu dalam pertumbuhan dan kejayaan bank berkenaan, pada masa yang sama, memastikan bahawa semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BIBD adalah 100 peratus berlandaskan syariah serta selaras dengan amalan industri.

Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad berkata, bahawa penghormatan yang diberikan itu menunjukkan komitmen bank berkenaan dalam menegakkan syariah di mana Badan Penasihat Syariah bank berkenaan yang berpengalaman, memastikan bahawa semua amalan perniagaan yang dilaksanakan adalah menurut rukun Islam yang membolehkan bank itu menyediakan interaksi yang telus, saksama dan beretika bagi semua pelanggan-pelanggan bank itu.

Anugerah KLIFF memberi pengiktirafan kepada syarikat, institusi dan individu yang cemerlang bagi usaha dan sumbangan signifikan mereka dalam pembangunan industri kewangan Islam.

ARTIKEL YANG SAMA