Pehin Haji Ha...

Pehin Haji Hasrin dilantik YDP POLSARA

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu telah diumumkan sebagai Yang Di-Pertua baru Persatuan Anggota Polis Diraja Brunei yang Bersara (POLSARA) bagi sesi 2017/2018.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Yang Di-Pertua POLSARA sesi sebelumnya, Pengiran Dato Paduka Haji Salim bin Pengiran Wahid pada Mesyuarat Agong ke-13 POLSARA yang berlangsung di No C6, Ibu Pejabat Polis Gadong, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah mantan-mantan Pesuruhjaya Polis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu dan Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Besar serta ahli-ahli lainnya.

Dalam ucapannya di mesyuarat itu, Pengiran Dato Paduka Haji Salim berkata, POLSARA mahukan seorang pemimpin yang berpengalaman dan berpengetahuan, mempunyai fizikal dan mental yang sihat dan cergas.

Apa yang perlu dilihat bukan seorang yang berpangkat atau dihormati tetapi seorang yang berpengaruh dan dapat bekerjasama dengan ahli-ahlinya, tambah beliau.

Menyentuh mengenai persatuan, beliau berkata, pada mulanya ia dikenali dengan nama Persatuan Bekas Anggota Polis dan berakhir sembilan tahun kemudian disebabkan tidak mendapat sokongan dari ahli-ahli.

“Pada tahun 2002, mesyuarat agung diadakan di mana perubahan nama persatuan menjadi POLSARA yang didaftarkan pada tahun 2003 hingga ke saat ini,” jelasnya.

Mesyuarat agung ke-13 itu diadakan lain daripada yang lain, di mana ahli-ahli membuat perbincangan mengenai apa yang akan dibuat sepanjang tahun 2017, antaranya membincangkan bagaimana untuk meningkatkan ekonomi persatuan.

Selain itu, mesyuarat berkenaan bertujuan untuk berunding dan bermuzakarah bagi memperjuangkan dan mengekalkan kredibiliti persatuan supaya dapat dilihat sebagai pelindung dan tempat berteduh terutama kepada semua ahli yang sentiasa memberi bantuan dan kerjasama dalam mengungkayahkan kerja-kerja dan aktiviti sepanjang tahun 2017/2018.

Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang tempoh dua tahun itu termasuklah Perbarisan Hari Kebangsaan, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Hari Keputeraan Baginda, majlis-majlis tahlil dan doa arwah, perjumpaan bersama Pesuruhjaya Polis, lawatan ke Jabatan Penerangan serta menghadiri acara-acara pada Majlis Ilmu dan banyak lagi.

Mesyuarat turut membincangkan pengesahan minit mesyuarat agung ke-12, laporan-laporan, perkara-perkara berbangkit, pembubaran Ahli Jawatankuasa (AJK) 2015/2016 dan lantikan AJK 2017/2018.

Pejabat POLSARA terletak di Rumah POLSARA, C6 di Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Gadong dan sehingga kini mempunyai seramai 146 orang ahli.

ARTIKEL YANG SAMA