Pehin Halbi terima kunjungan kebudayaan Sabah

Pehin Halbi terima kunjungan kebudayaan Sabah

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, semalam, telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2016 dalam majlis yang berlangsung di kementeriannya.

Rombongan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2016, Joana Datuk Kitingan dan turut disertai Ratu Unduk Ngadau Kaamatan 2016, Sherry Anne Laujang selaku Duta Kebudayaan dan Pelancongan Sabah, berserta beberapa orang pegawai dari Lembaga Kebudayaan Sabah dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pesta Kaamatan di Sabah merupakan tradisi pesta menuai yang diamalkan oleh Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman-berzaman dan diadakan selepas acara menuai padi. Tadau Kaamatan menjadi cuti awam di Negeri Sabah mulai tahun 1960an dan telah dijadikan sebagai pesta peringkat nasional.

Antara kegiatan yang diadakan dalam pesta tersebut termasuk Pertandingan Sumazau (tarian petani), Pertandingan Sugandoi (nyanyian tradisional), Sukan Rakyat, Pameran Kesenian dan Kraf Tangan, Perhimpunan Peringkat Negeri dan Unduk Ngadau.

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama rombongan Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2016 yang mengunjungi beliau di kementeriannya, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama rombongan Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2016 yang mengunjungi beliau di kementeriannya, kelmarin.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam kunjungan tersebut, Yang Berhormat Pehin dan rombongan bertukar-tukar pendapat mengenai memelihara, mempromosi dan membangunkan budaya dan tradisi. Di Negara Brunei Darussalam, Pesta Menuai juga diraikan oleh puak etnik dan antara tradisi yang dilaksanakan adalah seperti Makan Tahun (Kedayan), Adau Gayoh (Dusun), Perakong (Belait) dan Tamarok Parai (Bisaya).

Pesta Menuai adalah ungkapan budaya yang ada persamaan di Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah. Persamaan ini menyerlahkan sifat sentiasa bersyukur kepada hasil yang diperolehi.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad serta pegawai-pegawai kanan KKBS.

ARTIKEL YANG SAMA