Pejabat baru kumpulan ALAF BIBD

Pejabat baru kumpulan ALAF BIBD

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Dengan hasrat untuk meningkatkan keupayaan dan pemberian perkhidmatan bagi program ALAF BIBD, kumpulan ALAF telah berpindah ke pejabat baru mereka yang terletak di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), bersempena dengan acara yang penuh bermakna dan bersejarah bagi Program ALAF, majlis doa selamat dan tahlil telah diadakan yang dihadiri oleh wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga daripada pihak pengurusan dan kakitangan BIBD.

Kemudahan-kemudahan yang baru bagi Program ALAF itu, hadir tepat pada masanya di mana program kebajikan itu kini mempunyai lebih daripada 100 orang pelajar di bawahnya dan dengan peningkatan dari segi kemudahan, ini bermakna kumpulan ALAF mempunyai lebih banyak keupayaan serta peluang untuk melaksanakan pelbagai kegiatan bagi program berkenaan.

Program ALAF merupakan sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang unik di mana ia adalah selaras dengan Wawasan 2035 iaitu untuk melahirkan rakyat Brunei yang berkemahiran tinggi dan berpendidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan ekonomi yang mapan.

Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan berkata bahawa kewujudan pejabat baru itu merupakan satu langkah ke hadapan untuk Program ALAF menyediakan keupayaan yang lebih baik bagi meningkatkan lagi perkembangan pendidikan para pelajar serta menampung peningkatan jumlah pelajar yang dipilih menyertai program itu setiap tahun.

Suasana pejabat baru Program ALAF BIBD, kumpulan ALAF di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan.
Suasana pejabat baru Program ALAF BIBD, kumpulan ALAF di Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan.

Menurutnya lagi, bukan sahaja Program ALAF merupakan keutamaan dan platform bagi BIBD untuk menyokong masyarakat tetapi ia juga merupakan satu program yang amat dekat pada hati setiap yang terlibat di BIBD oleh itu, berharap ia boleh berkembang untuk menjadi program yang lebih menyeluruh.

Beliau turut berharap Program ALAF akan berkembang dengan lebih cerah lagi dengan sokong-an daripada semua yang terlibat bukan sahaja daripada orang ramai tetapi juga rakan korporat untuk sama-sama terlibat bagi memastikan bahawa mereka boleh menyumbang kepada keperluan dan cita-cita setiap peserta program berkenaan.

Program ALAF dilancarkan pa-da Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, di mana ia diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi memastikan kerjasama rapat antara semua pihak supaya pelaksanaannya serta peruntukan bantuan untuk program ALAF dapat dikendalikan dengan jayanya.

Para pelajar di bawah Program ALAF menerima bantuan bayaran yuran sekolah dan tuisyen, alat tulis, pengangkutan dan keperluan makanan serta keperluan-keperluan lain. Semua ini bertujuan memastikan pelajar-pelajar terbabit dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap kemajuan pendidikan mereka tanpa perlu memikirkan komitmen lain.

Program ALAF akan terus menyediakan bantuan dan sokongan kepada pelajar-pelajar terbabit sehingga mereka ta-mat pengajiannya.

Menerusi ALAF, BIBD berharap untuk menyokong visi 2035, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu untuk mencapai tahap 100 peratus pendidikan untuk semua di mana ia diharap akan dapat mengurangkan kemiskinan dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih makmur dan aman serta menjadikan Brunei sebagai negara yang mempunyai penduduk yang berpendidikan, berkemahiran tinggi serta berjaya selaras dengan standard antarabangsa.

Selain daripada mengambil bahagian dalam acara seperti CE ALAF, orang ramai yang ingin untuk menyumbang kepada Tabung ALAF BIBD boleh membuat sumbangan derma minimum sebanyak $1.01 ke dalam akaun ALAF BIBD, 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mudah melalui rangkaian BIBD yang sedia ada seperti laman sesawang BIBD Online, aplikasi BIBD Mobile, BIBD ATM dan CDM atau kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap BIBD bagi memastikan bahawa sumbangan bulanan dapat disalurkan ke dalam tabung ALAF. Di samping itu, bagi pemegang akaun BIBD, mereka juga boleh mengumpul mata Hadiah BIBD dengan membuat sumbangan ke dalam akaun Tabung ALAF.

 

ARTIKEL YANG SAMA