Pejabat Kedutaan Rusia dirasmikan

Pejabat Kedutaan Rusia dirasmikan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Ishan Ibrahim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Kedutaan Besar Rusia di Brunei Darussalam, secara rasminya membuka pejabatnya di Brunei yang terletak di Kampung Manggis 2 dengan majlis perasmiannya hari ini.

Pada majlis itu, bendera Persekutuan Rusia dikibarkan di perkarangan kedutaan berkenaan yang menandakan permulaan bab baru dalam misi diplomatik Rusia di negara ini dan melambangkan hubungan rapat di antara kedua-dua buah negara.

Majlis itu telah dihadiri oleh para perwakilan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, ahli-ahli perniagaan Brunei dan rakyat Rusia yang berada di Brunei serta para jemputan lain yang dialu-alukan oleh Duta Besar Rusia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Tuan Yang Terutama telah menekankan hubungan kerjasama Brunei Darussalam dan Rusia yang semakin erat.

Katanya, Rusia akan meneruskan usaha mengukuhkan hubungan ini melalui usaha dua hala dan rangka kerja dialog antara Rusia dan negara-negara di Asia Tenggara.

Antara tetamu yang menghadiri majlis perasmian pejabat baru itu, kelmarin.
Antara tetamu yang menghadiri majlis perasmian pejabat baru itu, kelmarin.
Duta Besar Rusia ketika berucap di majlis itu.
Duta Besar Rusia ketika berucap di majlis itu.
Upacara menaikkan bendera Persekutuan Rusia.
Upacara menaikkan bendera Persekutuan Rusia.

“Sebagai usaha jangka masa panjang, Rusia kini berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan pelbagai dimensi bersama negara di rantau ini.

“Usaha ini merupakan perancangan jangka masa panjang dan selaras dengan dasar luar negara Rusia dalam gugusan Asia Pasifik dan Rusia akan terus giat dalam membuat pembangunan yang komprehensif bersama Brunei Darussalam dalam semua peringkat berdasarkan asas hubungan mesra yang sudah terjalin sejak sekian lama lagi,” ujar Tuan Yang Terutama.

Menurut beliau lagi, beberapa bidang yang menampakkan perkembangan progresif antaranya kerjasama dalam teknikal ketenteraan, perdagangan dan pertukaran ekonomi, tenaga, perumahan dan projek infrastruktur serta sektor pemakanan halal.