Pejabat Kumpulan Bank Dunia dirasmi

Pejabat Kumpulan Bank Dunia dirasmi

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembukaan pejabat Kumpulan Bank Dunia di sini membuktikan bahawa Malaysia merupakan antara lokasi pilihan organisasi dan perniagaan antarabangsa.

Meskipun kekangan dan ketidaktentuan global, beliau berkata ekonomi tempatan terus tumbuh lima peratus tahun lepas, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan peluasan kukuh sektor perkhidmatan, pembinaan dan perkilangan.

“Asas kami kukuh. Kami bangga ke atas rekod kami dan desakan berterusan untuk kami membuat keputusan yang tepat bagi Malaysia dan ekonomi negara supaya kita tidak membuat kesilapan dalam membangunkan masa depan yang mampan dan terangkum untuk kesemua rakyat Malaysia,” katanya semasa melancarkan pejabat Kumpulan Bank Dunia itu di sini hari ini.

Najib berkata pejabat itu juga diharapkan menjadi hab pengetahuan yang menghimpunkan pakar dari Malaysia dan Bank Dunia dalam bidang yang membolehkan kedua-dua pihak berkongsi pengalaman mengenai pertumbuhan bersama anggota lain Bank Dunia, khususnya negara membangun.

“Antara bidang utama yang telah kita laksanakan dan pelajari ialah pembasmian kemiskinan, prestasi sektor awam, menyediakan perkhidmatan kewangan moden dan bersepadu, serta perancangan dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat pejabat Kumpulan Bank Dunia. Turut hadir Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (tengah) dan Dr Axel Van Trotsenburg (kiri). – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat pejabat Kumpulan Bank Dunia. Turut hadir Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (tengah) dan Dr Axel Van Trotsenburg (kiri). – Bernama

Beliau berkata pejabat itu juga berperanan sebagai hab penyelidikan serantau, yang memberi tumpuan kepada dua bidang, dasar pembangunan serantau dan dunia selain analisis perusahaan dan petunjuk global.

Ini katanya, akan menyumbang kepada Laporan Menjalankan Perniagaan Dunia yang dipandang tinggi dan menyediakan sokongan operasi bagi dialog serta perusahaan dan perdagangan di Asia Selatan, Timur dan Selatan Asia.

“Kewujudan pejabat di Malaysia juga akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang berbakat, menerusi program pemilihan individu dari sektor awam untuk bertugas di Pejabat Bank Dunia.

“Aturan ini pastinya akan memberi manfaat bersama dan memperkaya pengalaman semua pihak,” kata Najib.

Perdana Menteri juga memuji sokongan berterusan bank itu ke atas agenda pembangunan Malaysia dan pada masa yang sama memperakui usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Kami menunggu untuk bekerja rapat dengan Kumpulan Bank Dunia bagi berkongsi pengalaman dan membantu merealisasikan matlamat bersama membasmi kemiskinan dan menggalakkan kemakmuran untuk semua di rantau ini dan dunia,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta Naib Presiden Serantau Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik Axel van Trotsenburg.

ARTIKEL YANG SAMA