Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman terima kunjungan dari Melaka

Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman terima kunjungan dari Melaka

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti POKSDSP Haji Mohd Salleh, hari ini, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Malaysia, Datuk Haji Mohd Radzi bin Haji Abdul Latif berserta rombongan, yang berada di negara ini bagi lawatan kerja selama tiga hari sehingga esok.

Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua belah pihak telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu undang-undang Syariah. Kunjungan hormat tersebut berakhir dengan pertukaran cenderahati.

Turut hadir semasa kunjungan tersebut ialah Peguam Cara Negara dan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta pegawai-pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

Dalam pada itu, rombongan dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Melaka itu telah mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, untuk sama-sama berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan khususnya dalam perkara berhubung bidang kuasa mahkamah dalam pelaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 di Negara Brunei Darussalam.

Lawatan ke kemudahan-kemudahan yang terdapat di Dewan Persidangan Mahkamah sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Salim.
Lawatan ke kemudahan-kemudahan yang terdapat di Dewan Persidangan Mahkamah sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Salim.
Warga Pejabat Peguam Negara menerangkan mengenai dengan fungsi mahkamah syariah.
Warga Pejabat Peguam Negara menerangkan mengenai dengan fungsi mahkamah syariah.

Rombongan yang diketuai oleh Datuk Haji Mohd Radzi itu disertai enam orang yang terdiri daripada hakim-hakim Syar’ie dan beberapa orang pegawai mahkamah Negeri Melaka.

Mereka dialu-alukan oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Salim bin Haji Besar, serta beberapa orang pegawai mahkamah syariah Negara Brunei Darussalam.

Semasa lawatan kerja berkenaan, rombongan dibawa melawat ke Galeri Mahkamah-mahkamah Syariah dan seterusnya melihat antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di Dewan Persidangan Mahkamah yang dilengkapi dengan teknologi terkini sebelum sesi taklimat dan perbincangan dua hala kedua pihak.

Mereka turut diberikan penerangan mengenai proses perkahwinan dan perceraian, serta taklimat permohonan dan sistem faraid bagi orang-orang Islam di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA