Pejabat pos baru KB dirasmikan

Pejabat pos baru KB dirasmikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 12 Okt – Buat julung-julung kalinya, Sambutan Hari Pos Sedunia 2015 bagi Brunei Darussalam telah diadakan di Daerah Belait yang diselajurkan dengan perasmian bangunan baru Pejabat Pos Kuala Belait yang terletak di Simpang 7 Jalan Dipa Negara, Kampung Mumong hari ini.

Hadir menyempurnakan perasmian sambutan serta bangunan baru berkenaan ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad yang juga Ketua Kampung Lumut I dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin juga selaku Ketua Kampung Mumong; Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; para pengarah, ketua jabatan, timbalan ketua jabatan, pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, wakil dari jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta, sekolah serta maktab-maktab di Daerah Belait.

Bangunan baru berkenaan dibina di bawah Projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-9 di atas tapak seluas 1.6 hektar (empat ekar) dengan kos $3.9 juta dan telah dilaksanakan oleh Syarikat Double Stars Contractor Sdn Bhd bermula tahun 2012 dan siap keseluruhannya tahun ini.

Yang Berhormat Pehin meninjau kemudahan yang terdapat di Bangunan Baru Pejabat Pos Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin meninjau kemudahan yang terdapat di Bangunan Baru Pejabat Pos Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pos Sedunia 2015 di Pejabat Pos Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Pos Sedunia 2015 di Pejabat Pos Kuala Belait.
Kuala Belait kini mempunyai bangunan baru Pejabat Pos yang terletak di Simpang 7 Jalan Dipa Negara, Kampung Mumong.
Kuala Belait kini mempunyai bangunan baru Pejabat Pos yang terletak di Simpang 7 Jalan Dipa Negara, Kampung Mumong.

Pengerusi majlis, Ketua Pos Agung, Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, Pejabat Pos Baru Kuala Belait akan menjadi pusat urus niaga komuniti seperti pusat kaunter pelbagai perkhidmatan, penyerahan surat-surat dan bungkusan, Pejabat Pertukaran (OE) kedua khusus bagi pengendalian barang-barang e-Perdagangan, Pusat Latihan Jabatan Perkhidmatan Pos dan selebihnya akan disewakan.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan bahawa Jabatan Perkhidmatan Pos telah mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran dalam mempertahankan dan memperkembangkan industri pos, yang menurutnya, peningkatan saingan daripada berbagai-bagai pihak telah memberi kesan kepada penurunan penggunaan surat-surat yang menimbulkan kebimbangan tentang industri ini tidak akan dapat bertahan.

“Namun usaha-usaha strategik sedang giat dilaksanakan mengikut rancangan yang bertujuan bagi mengimbangi peningkatan saingan tersebut khususnya peningkatan ICT.”

Tambah beliau lagi, jabatan tersebut telah mengorak langkah strategiknya dengan memperbaiki dan menambah nilai kualiti perkhidmatan pengurusannya ke arah strategi korporat, iaitu menumpukan kepada inisiatif ke arah mempelbagaikan perkhidmatan dengan menggabungkan ketiga-tiga pengurusan iaitu memantapkan operasi dengan peningkatan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, memperkembangkan perniagaan dengan meluaskan pasaran-pasaran pos yang memfokuskan tiga strategik utama iaitu pertama, memperkasa perkhidmatan fizikal seperti perkhidmatan bungkusan, paket, E-Paket dan logistik.

Kedua, meneroka dan menyedia perkhidmatan berorientasikan kewangan seperti perkhidmatan pengiriman wang secara elektronik (IEMO), dan ketiga meneroka serta menyedia perkhidmatan berkonsepkan ICT seperti e-Perdagangan (Online Shopping Portal).

“Dengan strategi tersebut, jabatan akan sentiasa berusaha dalam memenuhi hasrat pelanggan jabatan untuk memberikan kepuasan yang maksima, dan ke arah itu, jabatan telah pun menjayakan Sistem Domestic Tracking bagi paket-paket kecil, sistem ini membolehkan orang ramai membuat pertanyaan dan mengesan paket-paket mereka sama ada telah sampai di negara ini atau belum.

“Manakala daripada segi perkhidmatan kaunter pula, Jabatan Perkhidmatan Pos telah berjaya sepenuhnya menggunakan Sistem Electronic Payment Gateway (EPG) dalam meningkatkan efisiensi pengurusan kewangan kaunter,” jelas beliau lagi.

Majlis perasmian berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Surat Kiriman bagi Tahun 2015, diteruskan dengan acara menepung tawar motosikal-motosikal baru Jabatan Perkhidmatan Pos yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Majlis Perasmian Pejabat Pos Kuala Belait, merupakan salah satu daripada aktiviti yang telah dirancang sempena meraikan Hari Pos Sedunia dengan tema tahun ini ialah “Alat-Alat Komunikasi”.

Aktiviti lainnya termasuk majlis membaca Surah Yasin, tahlil, Ratib Al-Attas, doa kesyukuran dan sembahyang berjemaah di bangunan baru pejabat pos itu pada 10 Oktober lalu, kejohanan boling bagi warga pos, kempen menderma darah, ceramah motivasi bagi warga Pos, Hari Terbuka Pos di pejabat-pejabat pos MPC, Muara, Tutong, Seria dan Kuala Belait dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA