Pejabat utama VW Perancis diserbu polis

Pejabat utama VW Perancis diserbu polis

PARIS, 18 Okt – Polis telah membuat serbuan di ibu pejabat Volkswagen Perancis untuk membuat siasatan terhadap skandal penipuan ke atas gergasi auto Jerman, sumber kehakiman semalam berkata.

Penyiasat menjalankan pemeriksaan ke atas pejabat syarikat utama di Villers-Cotterets utara Perancis Jumaat lalu, serta beberapa pejabat lainnya yang berdekatan dengan Paris, merampas dokumen dan perkakasan komputer semasa serbuan, menurut sumber itu.

Seperti negara-negara lain, Perancis telah membuka siasatan ke atas skandal penipuan pencemaran perisian yang dipasang di dalam enjin diesel oleh Volkswagen, dan syarikat tersebut mengakui bahawa 11 juta kenderaan di seluruh dunia dilengkapi dengan program tersebut untuk melepasi ujian emisi.

Hampir satu juta kereta diesel Volkswagen jenama VW, Audi, Skoda dan Seat telah dijual di Perancis pada tahun-tahun kebelakangan dan dilengkapi dengan perisian tersebut, menurut unit VW Perancis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2012 mengisytiharkan pelepasan daripada enjin diesel menjadi karsinogenik. Beberapa kenderaan dengan perisian itu didapati mengeluarkan lebih daripada 40 kali tahap yang dibenarkan oleh undang-undang pencemaran udara yang dipanggil oksida nitrogen.

Sementara di Itali, pihak Polis juga telah membuat serbuan ke atas pejabat Volkswagen minggu lepas.

Di Jerman, pendakwa hari ini telah mengenal pasti kurang daripada 10 suspek dalam skandal penipuan itu, berikutan Volkswagen telah mengumumkan penurunan dalam jualan di seluruh dunia.

Pemanipulasi mengenai penipuan enjin diesel VW telah mencetuskan skandal global terbesar dalam sejarah sektor automobil.

Ketua Eksekutif Martin Winterkorn terpaksa meletak jawatan dan digantikan oleh Matthias Mueller, bekas ketua kumpulan kereta berjenama mewah, Porsche. Gergasi auto telah berkata ia akan menarik balik sejumlah 8.5 juta kenderaan diesel di Eropah sahaja. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA