Pejalan kaki maut dilanggar kereta di Jalan Tuaran Bypass

Pejalan kaki maut dilanggar kereta di Jalan Tuaran Bypass

KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama – Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di Jalan Tuaran Bypass dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata mangsa seorang wanita dikenali sebagai Siti Noraidah Sartuo, 21, berasal dari Tawau.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Tuaran menuju ke Kota Kinabalu kira-kira pukul 5 pagi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan telah terlanggar mangsa yang sedang melintas menyebabkan mangsa melambung ke atas cermin depan kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. Katanya sejurus kejadian itu, pemandu Proton Wira berkenaan terus ke Balai Polis Trafik Kota Kinabalu untuk membuat laporan.

Chandra berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pejalan kaki berkenaan ketika melintas dan lokasi kejadian bukan laluan khas untuk pejalan kaki.