Pejalan kaki maut dilanggar lori

Pejalan kaki maut dilanggar lori

KOTA KINABALU, 15 Julai – Seorang pejalan kaki maut dilanggar sebuah lori ketika sedang melintas jalan di Jalan Tuaran, berhampiran jalan susur masuk ke Pekan Manggatal dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata mangsa seorang wanita dikenali sebagai Eni Daude, 46, berasal dari Telipok Ria disahkan meninggal dunia di Hospital Likas akibat kecederaan parah.

“Kemalangan itu berlaku semasa lori berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Rampaian menuju ke Inanam kira-kira pukul 7:45 pagi.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah terlanggar mangsa yang sedang melintas dan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang tidak mengikut laluan Lintasan Pejalan Kaki yang hanya berada 20 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya sejurus kejadian itu, mangsa telah dihantar ke Hospital Likas oleh orang awam. – Bernama