Pejuang beri IS ’48 jam’

Pejuang beri IS ’48 jam’

BEIRUT, 21 Julai – Para pejuang yang disokong Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi kumpulan Islamic State (IS) 48 jam untuk meninggalkan medan pertempuran bandar Manbij, Syria, selepas serangan udara yang diketuai AS berhampiran dilaporkan telah membunuh puluhan orang awam.

Serbuan pada Selasa oleh pasukan gabungan yang menentang IS di Syria dan Iraq telah menimbulkan tindak balas tegang dan bantahan penduduk tempatan.

Pembangkang Syria telah menggesa pasukan gabungan yang diketuai AS untuk menangguhkan serangannya, dan kumpulan hak asasi antarabangsa menuntut siasatan menyeluruh.

Perikatan Pasukan Demokratik Syria (SDF) Kurdish-Arab yang mengeluarkan kata dua itu berkata ia bertujuan untuk ‘melindungi nyawa orang awam’ di Manbij, benteng kumpulan jihad di wilayah Aleppo.

Perikatan itu telah bertempur untuk menyingkirkan IS dari bandar itu sejak Jun, disokong kuat serangan udara pasukan gabungan.

Orang awam Syria yang tinggal di kawasan bandar barat laut Idlib yang juga ditawan pemberontak, berdepan pengalaman getir dalam pertempuran antara pasukan kerajaan dan IS. – AFP
Orang awam Syria yang tinggal di kawasan bandar barat laut Idlib yang juga ditawan pemberontak, berdepan pengalaman getir dalam pertempuran antara pasukan kerajaan dan IS. – AFP

“Inisiatif ini adalah peluang terakhir bagi anggota Daesh (IS) yang dikepung, untuk meninggalkan bandar tersebut,” kata Majlis Keselamatan Manbij, sebahagian daripada SDF.

“Untuk melindungi nyawa orang awam dan kemudahan di sana serta melindungi bandar dari kemusnahan, kami mengumumkan bahawa kami menerima inisiatif di bawah anggota IS yang dikepung akan pergi bersama senjata ringan mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Inisiatif itu adalah yang pertama dikemukakan minggu lepas oleh ketua-ketua puak di Manbij, komander SDF memberitahu AFP.

“Namun kami beri keputusan ini sekarang selepas IS menggunakan penduduk tempatan sebagai perisai manusia, selepas media menekan kami, dan untuk melindungi mana-mana orang awam yang masih berada di bandar itu,” kata komander tanpa menyatakan namanya.

Kenyataan itu juga menggesa orang awam untuk cuba meninggalkan Manbij atau menjauhkan diri mereka dari kawasan tempat pertempuran itu berlaku.

Ia disusuli dengan tindak balas hebat berhubung laporan kematian pada Selasa mengenai sekitar 56 orang awam, termasuk kanak-kanak, dalam serangan udara diketuai AS, semasa lari dari kampung Al-Tukhar berhampiran Manbij yang ditawan IS. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA