Peka akan industri Halalan Tayyiban

Peka akan industri Halalan Tayyiban

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Buat julung-julung kalinya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) akan mengadakan Seminar Antarabangsa Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban pada 31 Ogos dan 1 September 2016 ini, di Auditorium UNISSA.

Dalam sidang media di Bilik Senat, UNISSA petang tadi, Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, UNISSA, Dr Hajah Mas Nooraini binti Haji Mohidin menjelaskan, isu halal merupakan perkara yang sangat penting bagi umat Islam kerana tuntutan agama yang mulia dan penting bagi masyarakat antarabangsa yang lainnya kerana tuntutan kebersamaan hidup mereka dengan umat Islam dan umat Islam merupakan satu kumpulan masyarakat antarabangsa yang tidak terpisah daripada kehidupan politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

“Adalah satu kelaziman bagi pihak-pihak berkenaan untuk sentiasa peka terhadap industri Halalan dan juga Tayyiban di mana isu yang terakhir disebut ini kurang mendapat tumpuan selayaknya, iaitu kebersihan makanan yang betul-betul halal dan selamat dimakan oleh semua masyarakat,” ujarnya.

Seminar anjuran UNISSA dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Industri Halal Global (GHID), Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri ini bertujuan untuk mengembangkan industri Halalan Tayyiban di Negara Brunei Darussalam khasnya dan persada global amnya.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjadikan Brunei Darussalam seimbang dan ‘Multifaceted’ dalam mengkaji segala aspek industri Halalan Tayyiban.

Dr Hajah Mas Nooraini menerangkan mengenai seminar yang akan berlangsung pada 31 Ogos itu nanti.
Dr Hajah Mas Nooraini menerangkan mengenai seminar yang akan berlangsung pada 31 Ogos itu nanti.

Dr Hajah Mas Nooraini menambah, seminar juga bertujuan untuk mencari jalan agar UNISSA dan GHID menjadi pusat kecemerlangan penyelidikan industri Halalan Tayyiban, di samping menyediakan perkhidmatan profesional bagi merealisasikan hasrat negara dalam memajukan bidang industri berkenaan dan menjadikan Brunei Darussalam sebagai Hab Halal Global.

Menurutnya, seminar pertama ini akan membawa tema ‘Merentasi Sempadan dan Menangani Cabaran Dalam Industri Halalan Tayyiban Semasa’ dan beliau melahirkan harapan agar ia akan dijadikan seminar tahunan.

Objektif utama seminar adalah untuk mengenal pasti keperluan dan kesinambungan industri Halalan Tayyiban dalam perjalanan hidup manusia di muka bumi, dan menyerlah keistimewaan dan kelebihan industri Halalan Tayyiban dalam menyeru manusia sejagat menerusi kesempurnaan, keindahan dan ketetapan undang-undang Halalan Tayyiban,

Selain itu, ia juga sebagai wadah perbincangan para cendekiawan dan pengamal industri Halalan Tayyiban dalam mencari persamaan dan perbezaan isu-isu berkaitan dengannya demi mencapai suatu masyarakat Rabbani antarabangsa yang saling hormat-menghormati satu sama lainnya.

Seminar ini antara lain akan mengetengahkan perbincangan mengenai Industri Halalan Tayyiban Sepanjang Sejarah Ketamadunan, Pengemaskinian Produk dan Perkhidmatan Halalan Tayyiban, Penguatkuasaan Perundangan Berkaitan Industri Halalan Tayyiban dan kisah-kisah kejayaan dalam Industri Halalan Tayyiban.

Kertas kerja utama pada seminar berkenaan akan dibentangkan oleh Timbalan Mufti Kerajaan, pembentang ucaptama pula ialah Prof Zuhdi Ismail yang akan membincangkan mengenai produk dan Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki selaku pembentang ucaptama kedua akan menyentuh mengenai perundangan.

Pembentang ucaptama ketiga pula ialah wakil dari Brahim/IDB mengenai cerita-cerita kejayaan dan ucaptama keempat akan dibentangkan oleh wakil dari Turki.

Dijangka merasmikan seminar berkenaan ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar.

Seminar dua hari ini akan bermula pada pukul 7:45 pagi hingga 12 tengah hari, dan diteruskan pada pukul 1:30 petang hingga 4:30 petang.

ARTIKEL YANG SAMA