Peka terhadap hukuman setiap jenayah

Peka terhadap hukuman setiap jenayah

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 15 Mac – Seramai 25 orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), baru-baru ini, telah mengikuti lawatan ke Jabatan Penjara Maraburong, Tutong.

Lawatan yang dianjurkan oleh Bahagian Pengajian Brunei, Melayu Islam Beraja (MIB) di bawah Jabatan Pendidikan Teras, IBTE Kampus MKJB bertujuan untuk memenuhi penilaian tugasan para pelajar agar dapat menghayati, menerapkan dan memahami tajuk-tajuk berkaitan seperti gejala sosial.

Ketika lawatan tersebut para pelajar didedahkan dengan taklimat dan penerangan khusus tentang Penjara Maraburong yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Penjara Maraburong, Haji Alidin bin Haji Ahmad, dan Penolong Perhubungan Awam Penjara Maraburong, Awang Ahmad bin Haji Ali.

Penyampaian cenderamata kepada Pegawai Perhubungan Penjara.
Penyampaian cenderamata kepada Pegawai Perhubungan Penjara.

Antara lain lawatan itu diadakan adalah agar para pelajar dapat mengetahui, membezakan dan menganalisis bentuk-bentuk kesalahan yang telah dilakukan di negara ini dan mengetahui hukuman yang bakal diterima apabila melakukan kesalahan serta pendedahan mengenai pengendalian dan perjalanan pengurusan program pemulihan yang dijalankan di institusi penjara tersebut.

Dengan adanya lawatan seperti ini, para pelajar dihasratkan supaya dapat berwaspada agar tidak terjerumus dengan kegiatan jenayah dan tidak terlibat dengan gejala sosial. Di samping dapat menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA