Peka terhadap kuasa-kuasa serantau

Peka terhadap kuasa-kuasa serantau

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Kementerian Pertahanan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SHHBIDSS), baru-baru ini, telah mengendalikan Seminar Pandangan Keselamatan Asia Timur ke-8 yang diadakan di Bangunan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di Bolkiah Garison.

Seminar sehari itu dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, para komander dan pegawai dari Kementerian Pertahanan serta wakil-wakil dari agensi dan kementerian-kementerian lain.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan yang dikeluarkan, hari ini, seminar itu mengetengahkan panel penceramah dari ISEAS-Yusof Ishak Intitute, RSIS, University of Canterbury, New Zealand dan The ASEAN Institute for Policy Studies.

Pada sesi pagi, seminar itu melihat pada perkembangan yang berhubung dengan kuasa-kuasa utama serantau.

Menurut kenyataan itu lagi, minat kuasa-kuasa besar terus meningkat dan negara-negara di Asia Tenggara terus memperoleh manfaat daripada perjumpaan yang meningkat itu khususnya daripada segi ekonomi, infrastruktur dan pembangunan kapasiti.

Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih bergambar ramai bersama para pengendali seminar itu.
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih bergambar ramai bersama para pengendali seminar itu.
Antara kakitangan ABDB yang menyertai seminar tersebut.
Antara kakitangan ABDB yang menyertai seminar tersebut.

Peningkatan pertemuan dan perjumpaan itu juga telah mengelakkan mana-mana satu kuasa kuat untuk mendominasi rantau berkenaan.

Seminar itu juga melihat kepada perkembangan terkini dalam cabaran-cabaran sekuriti serantau seperti konflik di Laut China Selatan dan Laut China Timur serta isu keganasan. Konflik kawasan maritim sering terikat dengan sejarah dan kedaulatan di mana pakar-pakar yang membentangkan topik berkenaan bersetuju bahawa konflik-konflik berkenaan hanya boleh diurus tetapi tidak boleh diselesaikan.

Para peserta seminar itu juga mendengar mengenai ancaman dan trend terbaru keganasan terutama yang berkaitan dengan Islamic State of Iraq and al-Sham (ISIS) dan Al-Qaeda.

Dengan tragedi yang berlaku baru-baru ini di Paris dan Mali, ISIS sedang giat mengembangkan pengaruhnya ke rantau-rantau dunia lain dengan perkembangan yang membimbangkan pada masa ini, ialah matlamat ISIS untuk menubuhkan sebuah wilayah di Asia Tenggara.

Sementara itu, menurut kenyataan berkenaan, pada sebelah petang, perbincangan menumpukan kepada strategi-strategi untuk mencegah dan mengurangkan cabaran-cabaran sekuriti serantau.

Para peserta juga mendengar bagaimana diplomasi pencegahan mula digunakan pada awal abad ini dan terus digunakan sebagai respons kepada cabaran-cabaran sekuriti tradisional dan bukan tradisional.

Para peserta turut mengambil maklum mengenai pentingnya ASEAN untuk mengukuhkan kapasiti institusi dan mengekalkan fleksibiliti semasa menguruskan pertelingkahan terutama dalam usaha ASEAN untuk mengembangkan pembangunan komunitinya selepas 2015.

SHHBIDSS telah melaksanakan seminar EASO tahunannya sejak 2009 dengan hasrat untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam dan untuk menyumbang kepada perbincangan terhadap cabaran serta respons di sebalik landskap keselamatan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA