Peka terhadap pelaburan di Brunei

Peka terhadap pelaburan di Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Para pelabur dan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) adalah lebih peka kepada peluang-peluang pelaburan dan perniagaan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam di mana menerusi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimeterai baru-baru ini, membantu untuk meningkatkan pelaburan dua hala di antara syarikat AS dan Brunei.

Perkembangan positif hubungan ekonomi kedua-dua buah negara itu dapat disaksikan dengan jumlah syarikat AS atau syarikat francais AS yang mula bertambah di Brunei di mana ia menunjukkan bahawa peluang perniagaan dan pelaburan bagi syarikat AS di Brunei telah meningkat.

Perusahaan dan pelaburan yang diterokai itu bukan hanya terhad kepada satu bidang sahaja tetapi merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi, minyak dan gas, makanan dan minuman serta restoran makanan segera.

Perkara itu dijelaskan oleh Duta AS ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen kepada Media Permata dalam sesi wawancara selepas melancarkan Seminar Meningkatkan Daya Saing dalam Kalangan PKS dengan Teknologi di Dewan Brillance, Concepts Technologies, Kiulap, hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa AS dan Brunei sedang membuat ratifikasi kepada perjanjian itu di mana beliau percaya ia membuka ruang bagi syarikat-syarikat daripada kedua-dua buah negara untuk mengembangkan perniagaan mereka serta membuka akses untuk menerokai peluang-peluang perniagaan dan pelaburan yang ada.

TYT Craig Allen menyatakan bahawa semakin banyak syarikat Amerika Syarikat melihat potensi pelaburan yang ada di Brunei.
TYT Craig Allen menyatakan bahawa semakin banyak syarikat Amerika Syarikat melihat potensi pelaburan yang ada di Brunei.

Bagi pihaknya, jelasnya lagi, beliau berusaha untuk mengalu-alukan lebih banyak syarikat AS untuk meneroka peluang pelaburan di Negara Brunei Darussalam dengan memberikan maklumat yang lebih mendalam mengenai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Brunei untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing.

“Saya bertanggungjawab untuk memberikan mereka maklumat yang tepat mengenai keadaan ekonomi dan peluang pelaburan yang ada di Brunei di mana perkembangan terkini menunjukkan bahawa semakin banyak syarikat AS mula melihat potensi pelaburan yang terdapat di Brunei.”

TYT Craig Allen turut menerangkan mengenai dengan inisiatif terkini oleh Rumah Putih iaitu US-ASEAN Connect di mana ia dihasratkan untuk membina hubungan ekonomi (jambatan ekonomi) di antara AS dengan kesemua negara anggota ASEAN.

“Kami melihat ASEAN sebagai rantau dunia yang paling cepat membangun serta mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan merupakan sebuah rantau di mana kami berhasrat untuk membangunkan lebih banyak hubungan dua hala yang penting bagi AS bagi jangka masa panjang.”

Oleh itu, US-ASEAN Connect mempunyai pejabat di Singapura, Jakarta, Indonesia dan Bangkok, Thailand di mana beliau berharap pejabat-pejabat yang diterajui oleh kerajaan AS itu membawa lebih banyak syarikat-syarikat AS untuk meneroka peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di rantau ASEAN termasuk di Negara Brunei Darussalam.

Usaha itu, ulasnya lagi, diharap dapat meningkatkan lagi integrasi ekonomi dua hala di antara AS dengan negara-negara anggota ASEAN termasuk syarikat-syarikat AS dan syarikat-syarikat ASEAN.

Ia juga, jelasnya lagi, menunjukkan komitmen kepada pembangunan sektor swasta di mana kerajaan AS yakin sektor itu amat penting kerana ia merupakan sektor yang menjana peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi di mana pihak kerajaan menyediakan infrastruktur bagi memudahkan pembangunan ekonomi dua hala.

“Kami yakin bahawa industri teknologi tinggi amat mengalu-alukan inisiatif itu kerana ia akan memudahkan mereka untuk mendapatkan rakan kongsi, pembeli, penjual, pengedar dan rangkaian yang diperlukan oleh mereka untuk mengembangkan lagi perusahaan mereka.”

ARTIKEL YANG SAMA