Peka terhadap perkembangan semasa

Peka terhadap perkembangan semasa

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 8 Mac – Program Rakan Remaja Penerangan telah dilaratkan lagi ke daerah-daerah dan kali ini ia telah diadakan di Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, di sini, hari ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan melalui cawangan Penerangan Daerah Belait ini bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif, dan dalam masa yang sama, ia juga adalah untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

Ia merupakan program persembahan khusus bagi golongan remaja terutama bagi pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat semasa.

Selain itu juga untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan semasa, selain menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja, serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Abdul Aziz bin Haji Sudin. Turut hadir ialah Pengetua Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut, Dayang Helizawati binti Haji Kepli.

Haji Abdul Aziz yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Haji Abdul Aziz yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Antara pelajar Tahun 7, 9 dan 10 Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut yang menghadiri program tersebut.
Antara pelajar Tahun 7, 9 dan 10 Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Lumut yang menghadiri program tersebut.

Majlis yang melibatkan kehadiran kira-kira 300 orang dalam kalangan pelajar-pelajar Tahun 7, 9 dan 10 sekolah tersebut, telah dimulakan dengan nyanyian ramai lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’.

Majlis kemudian mendengarkan taklimat kenegaraan yang telah disampaikan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Mohammad Hisyam bin Idris, dan diteruskan lagi dengan tayangan video ‘Kibarkanlah Dengan Megah Bendera Negara’.

Persembahan ‘Choral Reading (Bahasa Inggeris dan Melayu), Penyampaian Sajak dan Persembahan Pentas Drama yang bertajuk ‘Negaraku Brunei Darussalam’ turut menceriakan majlis yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Selain itu, turut memeriahkan acara ialah persembahan lawak jenaka daripada pelawak undangan tanah air dan kuiz. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA