Peka terhadap tugas dan tanggungjawab

Peka terhadap tugas dan tanggungjawab

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada ketua penguasa pos, penguasa pos dan penolong penguasa pos telah berjaya menamatkan Kursus Bungkusan dan Pengurusan Logistik dan menerima sijil masing-masing dalam majlis penutup yang diadakan di Bilik Latihan Pusat Memproses Mel dan Bungkusan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, di sini.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Pos Agung, Haji Mohd Manan bin Haji Lakim.

Haji Mohd Manan dalam ucapannya menyatakan bahawa penyertaan para peserta telah mempamerkan komitmen dan dedikasi sebagai nadi Jabatan Perkhidmatan Pos ke arah perkhidmatan yang telus dan berkualiti.

Kursus ini diadakan untuk mendedahkan para peserta kepada perkembangan pos semasa, kerana jika diimbas kembali perkembangan pos di negara ini, terdapat banyak perubahan telah diharungi bersama. Kursus lima hari itu, yang bermula sejak 27 Februari lalu, bertujuan sebagai usaha ke arah pembangunan kapasiti untuk membina kemahiran para peserta di samping meningkatkan pengetahuan para peserta untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka kepada yang lebih berkesan dan berkualiti.

Haji Mohd Manan semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Haji Mohd Manan semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Haji Mohd Manan semasa menyampaikan ucapan.
Haji Mohd Manan semasa menyampaikan ucapan.

“Oleh itu kita semua harus menyusur arus perubahan dengan lebih gigih dan bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai warga pos. Kita semua faham bahawa orang ramai perlu diberi perhatian dengan sepenuh hati dan kita semua selaku warga pos mesti mempamerkan usaha yang gigih sehingga kepuasan mereka tertunai,” ujar Haji Mohd Manan. Beliau melahirkan harapan, dengan kursus ini akan dapat meningkatkan lagi kemahiran para peserta dengan lebih dinamik, bersikap kompetitif dan positif, ‘customer-oriented’ dan lebih mesra pelanggan.

Beliau juga menyeru para peserta untuk mempunyai perubahan cara berfikir yang lebih kreatif dan terbuka.

Kursus berkenaan telah dikendalikan oleh konsultan pakar perunding khas dari Asia-Pacific Postal College (APPC), Bangkok, Anucha Soonglertsongpha.

Kursus-kursus yang dirancang itu merupakan usaha Jabatan Perkhidmatan Pos untuk memberi latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan jabatan ini agar mereka lebih peka dengan perkembangan pos masa kini.