Peka tingkat ...

Peka tingkat kualiti pengajaran

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Institusi pendidikan di negara ini menghadapi pelbagai cabaran yang terhasil daripada perkembangan ilmu yang sangat pantas, jangkaan stakeholders yang semakin tinggi, persaingan sengit dan kehendak globalisasi yang sentiasa berubah.

Untuk itu, sekolah-sekolah perlulah sentiasa peka dan terus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengambil pendekatan lebih praktikal dan berkesan dalam model pendidikan.

Pemangku Menteri Pembangunan Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang juga Ahli Lembaga Tadbir Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menekankan perkara itu pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2016 bagi Sekolah Rendah (SR)YSHHB yang berlangsung di dewan sekolah itu hari ini.

Menurutnya, kualiti pengajaran dan pembelajaran akan dapat dicapai dengan lebih mudah dan pantas jika sekolah dilengkapkan dengan rangkaian teknologi maklumat dan menerapkannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu, kemahiran dan pengetahuan guru-guru juga perlu dipertingkatkan dengan memberi mereka peluang belajar dan menghadiri kursus yang terancang dan berkualiti sejajar dengan perkembangan semasa dalam pendidikan yang semakin canggih,” tambahnya.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah dan Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah ikut serta dalam persembahan.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah dan Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah ikut serta dalam persembahan.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Haji Mohd Hakimmuddin bergambar bersama Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang PSR 2016.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah dan Pengiran Haji Mohd Hakimmuddin bergambar bersama Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang PSR 2016.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sambil disaksikan oleh Awang Alimas.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang sambil disaksikan oleh Awang Alimas.

Beliau juga berharap mereka yang cemerlang dalam peperiksaan itu boleh menjadi model insan kepada pelajar lain, sama ada dari segi akademik, bukan akademik, disiplin dan akhlak.

Berangkat menyertai persembahan pada majlis tersebut ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah.

Berangkat sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolkiah dan Pengiran Haji Mohammad Hakimmuddin.

Pada majlis itu seramai 37 pelajar cemerlang dan 10 orang guru diraikan dan antara yang menerima anugerah ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengiran Wajeeh Al-Bolkiah yang mendapat keputusan cemerlang 5A.

Turut menyertai persembahan ialah cucunda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Dalam pada itu, Pemangku Pengetua SR YSHHB, Awang Alimas bin Haji Mohd Ali dalam ucapan alu-aluannya, mengatakan sekolah itu mencatatkan 100 peratus kelulusan dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Melayu Islam Beraja (MIB).

Seramai 120 orang pelajar menduduki peperiksaan PSR 2016 dan mencatatkan kelulusan 97.5 peratus, manakala 37 orang daripadanya mendapat Gred 5A dan 25 lagi meraih Gred 4A.

Beliau seterusnya menambah, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan Gred A yang baik pada tahun lepas, termasuklah subjek Matematik, Sains dan MIB.

“Kualiti keputusan secara keseluruhan masih ditahap yang membanggakan walau tidak mencapai 100 peratus tetapi peratus pelajar yang mendapat Gred C ke atas mencapai dan melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan iaitu melebihi 79 peratus,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA