Pekerja asing wajib kuasai Bahasa Indonesia

Pekerja asing wajib kuasai Bahasa Indonesia

JAKARTA, 6 Sept (Bernama) – Bagi pekerja asing yang bertugas di wilayah Jawa Timur, Indonesia, mereka akan berdepan satu peraturan baharu iaitu mesti menguasai bahasa Indonesia, demikian dilaporkan media-media tempatan.

Laporan media tempatan hari ini memetik Gabenor Jawa Timur Soekarwo sebagai berkata, pihaknya sedang merangka satu peraturan baharu bagi mewajibkan pekerja asing yang berada di wilayah berkenaan menguasai bahasa Indonesia dan menggunakan bahasa itu ketika bertutur dengan rakyat tempatan.

“Aturannya masih dirangka, yang jelas pekerja asing harus menguasai bahasa Indonesia kalau ingin bekerja di Jatim (Jawa Timur),” katanya.

Peraturan yang bakal diperkenalkan oleh Gabenor itu dikatakan bertentangan dengan keputusan Kementerian Tenaga Kerja yang tidak mensyaratkan penguasaan bahasa Indonesia bagi pekerja asing di negara ini.

Bagaimanapun, Soekarwo berkata peraturan yang dibuatnya adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran wilayah dan ia tidak dianggap bercanggah dengan kerajaan pusat. “Bukan bertentangan, tetapi menggunakan peraturan autonomi daerah,” katanya.

Menurut laporan kerajaan tempatan wilayah itu, setakat Ogos 2015, terdapat 14,000 tenaga kerja asing di Jawa Timur dengan majoritinya adalah dari China, Eropah dan Jepun.

Kebanyakan mereka adalah profesional dalam industri informasi, teknologi, serta pembinaan dan memegang jawatan seperti pengurus dan pengarah syarikat.