Pekerja Australia diculik di Afghan

Pekerja Australia diculik di Afghan

SYDNEY, 29 April – Seorang wanita Australia yang bekerja untuk sebuah badan kebajikan di Afghanistan telah diculik, kata menteri luar negara hari ini.

Julie Bishop berkata Canberra sedang berusaha untuk menjamin pembebasan Katherine Jane Wilson, tetapi menegaskan Australia tidak membayar wang tebusan untuk tawanan tersebut.

Wilson, yang juga menggunakan nama pertama Kerry, diculik di bandar Jalalabad, berhampiran dengan sempadan Pakistan, semalam, beritahu seorang pegawai kerajaan di kawasan itu kepada AFP.

“Beliau melawat bandar Jalalabad untuk projek sulaman wanita,” kata Ataullah Khogyani, jurucakap untuk gabenor wilayah Nangarhar, di mana Jalalabad merupakan ibu negeri.

“Dan lelaki bersenjata bertopeng menculik beliau dari Daerah Polis 2 bandar Jalalabad.”

Anggota polis Afghanistan memeriksa sebuah kenderaan di bandar Jalalabad, dekat dengan sempadan dengan Pakistan pada 29 April selepas satu laporan mengatakan pekerja bantuan dari Perth telah diculik oleh lelaki bersenjata di Jalalabad. – AFP
Anggota polis Afghanistan memeriksa sebuah kenderaan di bandar Jalalabad, dekat dengan sempadan dengan Pakistan pada 29 April selepas satu laporan mengatakan pekerja bantuan dari Perth telah diculik oleh lelaki bersenjata di Jalalabad. – AFP

Beliau menambah penculik menyamar sebagai polis, menculiknya pada pukul 4 pagi dari sebuah rumah yang dihuni oleh beliau.

Ketua polis Nangarhar Zrawer Zahed mengesahkan penculikan oleh “lelaki bersenjata yang tidak dikenali” tidak lama selepas beliau tiba pada petang Rabu. Bishop berkata beliau telah menghubungi keluarga Wilson.

“Butir-butir laporan masih belum disahkan tetapi pihak berkuasa Afghan pastinya percaya beliau telah diculik,” beritahunya kepada wartawan.

“Keutamaan kami adalah memastikan beliau berada dalam keadaan baik, dilayan dengan baik dan itulah tumpuan kami, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan kami di Kabul sudah tentunya terbabit dalam perkara ini.”

Ketika ditanya sama ada Canberra akan membayar wang tebusan sekiranya ia dituntut, beliau menjawab: “Mengikut dasar, kerajaan Australia tidak membayar wang tebusan untuk penculik.” – AFP