Pekerja Bangladesh dilarang bekerja di Sabah

Pekerja Bangladesh dilarang bekerja di Sabah

KOTA KINABALU, 26 Ogos (Bernama) – Kerajaan negeri Sabah tetap dengan pendiriannya tidak membenarkan pengambilan pekerja asing dari negara Bangladesh dalam semua sektor pekerjaan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat berkata perkara berkenaan diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet negeri di sini hari ini.

“Majikan boleh menggaji pekerja asing dari negara sumber yang dibenarkan iaitu Indonesia, Filipina, Myanmar, Nepal dan Kemboja bagi semua sektor kecuali sektor perkhidmatan yang terhad hanya kepada pekerja dari Indonesia dan Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.