Pekerja kilang bunuh 6 orang, dihukum mati

Pekerja kilang bunuh 6 orang, dihukum mati

SHANGHAI, 29 Julai (AFP) – Sebuah mahkamah China hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas seorang pekerja kilang kimia yang membunuh enam orang di pusat komersial Shanghai disebabkan pertengkaran dengan rakan sekerjanya, lapor media tempatan.

Mahkamah Rakyat Perantara Nombor Dua Shanghai mengumumkan hukuman ke atas Fan Jieming, 62, yang membunuh empat rakan sekerja, seorang pemandu teksi dan seorang pengawal di berek tentera pada Jun 2013, kata akhbar Shanghai Daily di laman webnya.

Jenayah itu, dilakukan dalam tempoh enam jam, dicetuskan daripada satu pertengkaran dengan rakan sekerjanya mengenai cara-cara untuk membahagikan bahan dan aset lain dari kilang kimia yang ditutup di mana mereka bekerja, katanya.

Laporan media berkata dia menggunakan senapang memburu dan sebatang paip besi. Kejadian tembakan jarang berlaku di China, di mana pemilikan senjata api adalah haram untuk individu.

Laporan akhbar tidak berkata sama ada Fan akan membuat rayuan. Di bawah undang-undang China, Mahkamah Tinggi negara mesti mengkaji semula hukuman mati sebelum mereka boleh dilaksanakan.

Ketegangan sosial telah meningkat di China dalam beberapa tahun ini di sebalik jurang pendapatan yang semakin besar dan penyalahgunaan kuasa awam, dengan pertengkaran mengenai isu remeh ada kalanya mencetuskan kejadian serius.

ARTIKEL YANG SAMA