Pekerja maut disedut enjin pesawat di India

Pekerja maut disedut enjin pesawat di India

MUMBAI, 17 Dis – Seorang juruteknik yang bekerja dengan Air India menemui ajal selepas disedut ke dalam enjin pesawat udara ketika pesawat itu diundurkan untuk berlepas di lapangan terbang Mumbai, menurut syarikat penerbangan dan laporan.

Kemalangan luar biasa itu berlaku petang semalam apabila pembantu juruterbang penerbangan AI619 ke Hyderabad di selatan India tersilap memahami isyarat dari kakitangan lapangan dan menghidupkan enjin. Ia menyedut masuk Ravi Subramanian, yang sedang berdiri berhampiran, lapor Press Trust of India, dengan memetik sumber yang dirahsiakan identitinya di Air India, penerbangan kebangsaan terbesar di Asia.

Pihak penerbangan itu menyatakan di halaman rasminya di Twitter bahawa salah seorang jurutekniknya telah ‘meninggal dunia dalam kemalangan yang tidak diingini ketika pengunduran penerbangan AI 619’, tanpa menyatakan dengan tepat apa yang telah berlaku.

Menurut yang dinyatakan dalam Twitter ‘Kejadian ini sedang disiasat. Ucapan takziah tulus ikhlas kepada keluarganya.”

Pengerusi dan pengarah urusan Air India Ashwani Lohani berkata ‘kami amat sedih dan kesal di atas berlakunya kejadian tragik ini,” di Lapangan Terbang Chhatrapati Shivaji, Mumbai, menurut penghantaran di Twitter itu lewat semalam.

Gambar fail menunjukkan pesawat penerbangan Air India yang diparkir di Terminal 3 Lapangan Terbang Antara Bangsa Indira Gandhi di New Delhi, India. – Agensi
Gambar fail menunjukkan pesawat penerbangan Air India yang diparkir di Terminal 3 Lapangan Terbang Antara Bangsa Indira Gandhi di New Delhi, India. – Agensi

Syarikat Penerbangan itu yang dikendali oleh kerajaan yang tidak melaporkan keuntungan tahunannya sejak 2007, telah dilanda banyak kesilapan teknikal dan kejadian lain yang mengaibkan, termasuklah kakitangan muncul lewat bagi penerbangan.

Pada April, syarikat penerbangan itu telah menjadi tajuk utama berita apabila ia tidak membenarkan dua orang juruterbangnya melakukan penerbangan selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua itu sebelum berlepas.

Kejadian semalam berlaku seminggu selepas pesawat udara turboprop milik syarikat penerbangan tambang murah SpiceJet terkenal terlanggar sekumpulan babi hutan dan tergelincir ketika ia mendarat di lapangan terbang Jabalpur di bahagian tengah India. – AFP