Pekerja mogok di Freeport

Pekerja mogok di Freeport

JAKARTA, 3 Okt – Lebih 1,000 orang pekerja mengadakan mogok di sebuah lombong emas dan tembaga Indonesia milik sebuah firma AS, Freeport-McMoRan dalam pertikaian berhubung pembayaran bonus, menurut syarikat itu dan sebuah kesatuan hari ini.

Para pekerja, yang kebanyakannya pengendali lori, mula melancarkan mogok Rabu lalu di Grasberg, salah sebuah lombong emas dan tembaga terbesar di dunia, yang terletak di pergunungan timur wilayah Papua.

Pihak kesatuan pekerja berkata mereka berang dengan perbezaan pembayaran bonus yang diberikan kepada mereka dan pasukan kejuruteraan di tapak itu.

Riza Pratama, jurucakap unit Indonesia Freeport berkata operasi di lombong terbuka Grasberg terjejas oleh mogok tetapi lombong bawah tanah di tapak itu setakat ini tidak terjejas. Kilang memproses dilombong itu masih beroperasi tetapi pada kapasiti terhad, ujarnya.

Seorang anggota kesatuan itu, Gibi Kenelak berkata seorang pegawai kanan syarikat itu telah diterbangkan dari Jakarta dan telah berbincang dengan para pekerja hari ini, tetapi perkara itu masih belum selesai. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA