Pekerja rencam dan warga emas dapat rumah baru

Pekerja rencam dan warga emas dapat rumah baru

LABUAN, 25 Dis (Bernama) – Pekerja rencam Rosli Awang dan warga emas Hassan Lazak, yang tinggal dalam rumah papan yang uzur sejak sekian lama, akan menerima rumah baharu tidak lama lagi.

Rumah masing-masing di Kg Layang-Layangan dan Durian Tunjong dalam keadaan amat menyedihkan dan boleh runtuh pada bila-bila masa, menjadikannya tidak selamat untuk didiami.

Rosli berusia 50-an perlu menanggung sembilan orang anak yang lapan daripadanya masih bersekolah. Isterinya tidak bekerja kerana mengalami masalah kemurungan.

Namun semua itu bakal berakhir atas inisiatif Hotel Dorsett Grand di sini yang menjadikan keluarga Rosli dan Hassan, 69, sebagai anak angkat hotel lima bintang itu.

Pengurus Besar hotel Susan Carlos memberitahu Bernama, kerja membaik pulih rumah mereka akan dilakukan pada Januari tahun depan dan bantuan barangan akan diberikan setiap dua bulan sekali kepada keluarga Rosli, dan Hassan yang menganggur dan tinggal sendirian.

Katanya bagi meringankan bebanan mereka, pengurusan hotel telah melancarkan kempen jualan “istana Ginger Bread’ di lobi hotel bagi membolehkan tetamu hotel menyumbang dengan membeli makanan itu.

“Semasa kami mengunjungi rumah mereka, ia dalam keadaan hampir roboh dan perlu dibaiki segera supaya mereka dapat tinggal dalam suasana lebih selesa dan selamat,” kata Susan.

Rosli dan Hassan selama ini memang berharap agar pihak berkuasa dapat membantu membaiki rumah mereka atau membina rumah baharu kerana rumah mereka tidak selamat untuk diduduki.

Mereka berharap mendapat rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).