PEKIRA adakan majlis penyampaian sijil, kad ahli

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Koperasi Usahajaya PEKIRA Berhad (KUPB) telah mengadakan majlis penyampaian sijil-sijil saham dan kad ahli kepada pemegang saham koperasi tersebut di Stesen Minyak KUPB Kampung Jangsak, Gadong kelmarin.

Terdahulu, satu sidang media telah diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga KUPB disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Haji Dani bin Haji Ibrahim.

Beliau antara lain menjelaskan bahawa objektif utama koperasi tahun ini adalah untuk meningkatkan hasil jualan minyak melebihi setengah juta dolar sebulan.

Bagi menjayakan hasrat ini, KUPB memperkenalkan pemberian bonus pengumpulan mata bagi sebarang pembelian minyak dan produk dijual koperasi tersebut kepada ahli-ahlinya.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Dani menyampaikan kad ahli kepada ahli-ahli pemegang saham koperasi berkenaan.

Sehubungan itu, pihak koperasi telah mengeluarkan kad ahli kepada pemegang-pemegang saham yang perlu ditunjukkan kepada kakitangan pam semasa pembelian.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin Haji Dani lagi, pembelian secara kad ini juga akan dilaratkan kepada keluarga ahli dengan pemberian kad tambahan di bawah nama pemegang saham dan dikenakan bayaran $3 setiap keping.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Haji Dani kepada pemegang-pemegang saham yang turut menerima kad ahli yang bermastautin di sekitar stesen tersebut.