Pelabuhan Labuan ambil langkah atasi kesesakan

Pelabuhan Labuan ambil langkah atasi kesesakan

LABUAN, 5 Jan – Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan masalah kesesakan serta kelewatan di Pelabuhan Labuan.

Ini termasuk melipatgandakan waktu operasi kepada 18 jam tujuh hari seminggu, sekaligus meningkatkan kadar pemunggahan sehingga 30 unit kontena 20 kaki (TEU)setiap hari berbanding 10 TEU sebelum ini.

Ketua Pegawai Esekutif LLPM, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman memberitahu Bernama, pihak Pelabuhan Labuan turut menyediakan kemudahan penyimpanan secara percuma sehingga 21 hari untuk muatan pindahan dalam usaha menarik minat pengeksport.

“Tiada sebarang aktiviti muatan dan pemunggahan dibenarkan di ruang kontena bagi memastikannya untuk tujuan penyimpanan sahaja. Pengguna pelabuhan sebaliknya boleh melakukan aktiviti itu di premis penerima atau yang dipilih penerima di ruang kontena kami di luar pelabuhan berkenaan,” katanya.

Mohd Alias berkata, sebelum ini, aktiviti pemunggahan dan memuatkan barangan hanya dilakukan pada waktu siang iaitu antara 8 pagi sehingga 5 petang dan tiada sebarang operasi dibenarkan pada hujung minggu yang menyebabkan hanya 10 TEU dimuatkan setiap hari.

Keadaan di Pelabuhan Labuan Liberty ketika mengendalikan kontena dan kargo. Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan masalah kesesakan serta kelewatan di Pelabuhan Labuan. – Bernama
Keadaan di Pelabuhan Labuan Liberty ketika mengendalikan kontena dan kargo. Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan masalah kesesakan serta kelewatan di Pelabuhan Labuan. – Bernama

“Produktiviti berkurangan secara drastik ketika cuaca buruk dan hanya merumitkan lagi masalah kesesakan dan kelewatan,” katanya.

Sebagai jaminan keselamatan, pihak berkuasa akan turut mengawasi operasi terutama pada waktu malam dan kesemua bot perlu meninggalkan pelabuhan itu sebelum masa ditetapkan, katanya.

“Kami turut meminta pihak berkuasa untuk membenarkan usaha pemindahan kontena, termasuk yang mengandungi kargo ke kawasan ditetapkan di luar pelabuhan (yang ketika ini digunakan bagi menempatkan kontena kosong) bagi tujuan simpanan dan aktiviti berkaitan,” katanya.

Berikutan itu, Mohd Alias yang juga Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan berkata pihak LLPM menyewa sebuah kawasan di luar pelabuhan untuk menempatkan kontena-kontena kosong. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA