Pelabuhan minyak Kerajaan Perpaduan Libya dirampas

Pelabuhan minyak Kerajaan Perpaduan Libya dirampas

TRIPOLI, 13 Sept – Pelabuhan minyak ketiga Kerajaan Perpaduan yang disokong PBB, Libya telah dirampas oleh pasukan tentera penentang, menimbulkan kebimbangan terhadap keganasan baru di negara yang dilanda masalah dan ketegangan.

Kerugian dicatatkan selepas pejuang penentang di timur Libya merampas dua terminal lain daripada pengikut setia Kerajaan yang berpangkalan di Tripoli, National Accord (GNA) pada Ahad lalu.

Ketiga-tiga pelabuhan Mediterranean berada dalam kawasan “bulan sabit minyak” Libya, iaitu kawasan yang dianggap sebagai sumber penting bagi pendapatan GNA berjuang untuk mengetatkan kekuasaannya di seluruh negara.

“Angkatan tentera kami dapat mengawal pelabuhan Zuwaytina dan berjaya mengawasi sepenuhnya,” kata jurucakap pejuang yang merampas terminal tersebut.

Gambar fail bertarikh 8 Januari 2016 menunjukkan kepulan asap dari tangki simpanan minyak selepas kebakaran berjaya dipadamkan berikutan pertempuran di terminal minyak Al-Sidra, berhampiran Ras Lanuf yang digelar “bulan sabit minyak” di sepanjang pantai utara Libya. – AFP
Gambar fail bertarikh 8 Januari 2016 menunjukkan kepulan asap dari tangki simpanan minyak selepas kebakaran berjaya dipadamkan berikutan pertempuran di terminal minyak Al-Sidra, berhampiran Ras Lanuf yang digelar “bulan sabit minyak” di sepanjang pantai utara Libya. – AFP

Agensi berita LANA yang setia kepada pentadbiran timur melaporkan daripada sumber tentera sebagai berkata: “Angkatan tentera kini tertumpu di pelabuhan dan telah berjaya mengawal kawasan itu selepas menyingkirkan pasukan militia daripada memasukinya.”

Tentera-tentera telah diperintahkan oleh Jeneral Khalifa Haftar, seorang yang enggan menyokong GNA dan menyokong pihak berkuasa yang berpangkalan di timur Libya berhampiran sempadan dengan Mesir.

Pada Ahad lalu, mereka mengambil alih pelabuhan Al-Sidra dan Ras Lanuf sebelum menyerang Zuwaytina ke timur. Ia adalah kali pertama di mana tentera Haftar dan pejuang setia kepada GNA bertempur secara langsung sejak kerajaan perpaduan mula berkuasa di ibu negara pada bulan Mac. – AFP