Pelabuhan pintu kemajuan ekonomi

Pelabuhan pintu kemajuan ekonomi

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Mesyuarat Persatuan Pelabuhan ASEAN (APA) ke-41 membuka tirainya, hari ini, di Hotel Antarabangsa Rizqun, di ibu negara, di mana ia akan berlangsung selama dua hari, hingga esok.

Perasmian mesyuarat berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan, timbalan ketua jabatan di Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya, pengerusi APA, ketua setiausaha APA, wakil ketua sekretariat tetap APA, delegasi APA dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan.

Semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan, Awang Mohd Riza antara lain berkata, Rangkaian Pelabuhan ASEAN yang merangkumi 47 buah pelabuhan di sembilan buah negara, merupakan tulang belakang kepada Rangkaian Pelabuhan Rentas ASEAN.

Menurut beliau, pembangunan pelabuhan-pelabuhan memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, yang mana pengangkutan melalui laut merupakan jenis pengangkutan yang paling kompetitif dari segi kos bagi perdagangan berbanding lebuh raya, kereta api atau udara dan memainkan peranan penting bagi pengembangan perdagangan.

Tetamu kehormat melancarkan Mesyuarat APA ke-41.
Tetamu kehormat melancarkan Mesyuarat APA ke-41.
Gambar ramai para delegasi bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai para delegasi bersama tetamu kehormat.

Bagaimanapun, tambah beliau, terdapat halangan-halangan dalam mencapai pengangkutan maritim yang efektif dan kos rendah di rantau ini termasuk perbezaan besar dalam kualiti infrastruktur pelabuhan dan prestasi pelabuhan serta kekurangan akses laluan dari pelabuhan ke pengangkutan darat.

“Oleh itu, Mesyuarat APA sangat penting dalam membantu pelabuhan-pelabuhan kita mencapai kejayaan baru menerusi inisiatif-inisiatif yang dibangunkan untuk mewujudkan nilai dan kecekapan bagi menangani cabaran-cabaran ini,” ujarnya.

Turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu ialah Pemangku Timbalan Pengarah Pelabuhan-Pelabuhan, Awang Helmi bin Haji Talin selaku pengerusi jawatankuasa penganjur dan Pengerusi APA, Juan C. Sta. Ana daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Filipina.

Mesyuarat dua hari berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dan perwakilan pegawai pelabuhan ASEAN, yang mana delegasi Brunei Darussalam telah diketuai oleh Pemangku Pengarah Pelabuhan-Pelabuhan, Haji Bujang bin Haji Tingkong.

Dalam pertemuan itu, para perwakilan membincangkan laporan juru audit kehormat, laporan kewangan, bajet APA untuk 2016, program strategik APA, pembangunan pelabuhan mapan, HRD, Penghantaran Elektronik dan Pertukaran Maklumat.

Selain itu, mesyuarat antara lain turut membincangkan laman sesawang, surat berita APA, penswastaan/pengkomersilan aktiviti-aktiviti di pelabuhan dan inisiatif-inisiatif pelabuhan hijau.

APA ditubuhkan di Manila, Filipina pada September 1975 dan sehingga hari ini, ia telah disertai sembilan buah negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA